Mahkamah Jenayah Antarabangsa buka pejabat di Kyiv

Bernama
September 15, 2023 12:07 MYT
Ini adalah cawangan terbesar mahkamah di luar ibu pejabatnya di The Hague, Belanda, kata Zelensky dalam ucapan videonya pada petang Khamis.
KYIV: Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky pada Khamis berkata Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) telah membuka pejabatnya di Kyiv bagi menyiasat dakwaan jenayah perang Rusia, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Ini adalah cawangan terbesar mahkamah di luar ibu pejabatnya di The Hague, Belanda, kata Zelensky dalam ucapan videonya pada petang Khamis.
Siasatan antarabangsa itu membantu untuk mengembalikan "keadilan bagi Ukraine dan semua rakyat kita yang telah menderita akibat perang ini", katanya.
Terdahulu, pejabat akhbar tribunal itu telah berkongsi foto pembukaan pejabat itu dalam satu catatan di platform media sosial X (Twitter). Ketua pendakwa raya ICC Karim Khan turut dilihat dalam foto berkenaan.
Mac lepas, Khan mengeluarkan waran tangkap terhadap Presiden Rusia Vladimir Putin dan Pesuruhjaya Hak Kanak-Kanak Rusia Maria Lvova-Belova atas dakwaan jenayah perang di Ukraine.
-- BERNAMA
#Mahkamah Jenayah Antarabangsa #Ukraine #Kyiv #jenayah kemanusiaan #Vladimir Putin
;