Mahkamah Jenayah Antarabangsa buka kertas siasatan awal pengusiran Rohingya

Astro Awani
September 19, 2018 10:54 MYT
Bensouda berkata beliau akan melihat kepada beberapa laporan mengenai dakwaan perbuatan kekerasan yang dilakukan terhadap warga Rohingya, memaksa mereka berpindah. (Foto AP / Fail)
Ketua Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Fatou Bensouda mengumumkan akan membuka kertas siasatan awal terhadap pengusiran ribuan etnik Islam Rohingya dari Myanmar ke Bangladesh pada Selasa.
Bensouda berkata, beliau telah memulakan siasatan secara rasmi sebagai pemeriksaan awal untuk mencari bukti bagi melancarkan siasatan penuh.
Beliau turut akan melihat kepada beberapa laporan mengenai dakwaan perbuatan kekerasan yang dilakukan terhadap warga Rohingya, memaksa mereka berpindah.
Ia termasuk penafian hak asasi manusia, pembunuhan, keganasan seksual dan sebagainya.
Tentera Myanmar dituduh melakukan kesemua perbuatan tersebut sehingga menyebabkan 700,000 Rohingya melarikan diri ke negara jiran sejak Ogos tahun lalu.
Pengumuman Bensouda dibuat kurang dua minggu selepas hakim ICC membenarkan beliau menyiasat kes deportasi etnik Rohingya walaupun Myanmar bukan anggota mahkamah tersebut.
Dalam membuat keputusan itu, hakim menjelaskan, oleh kerana pengusiran itu berlaku dalam wilayah Bangladesh, yang merupakan anggota ICC, ia di bawah bidang kuasa Bensouda.
ICC adalah jalan terakhir apabila pihak berkuasa sesebuah negara tidak dapat atau tidak mahu menjalankan siasatan terhadap sesuatu jenayah.
#etnik #Fatou Bensouda #hak asasi #Islam #keganasan #Ketua Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa #Mahkamah Jenayah Antarabangsa #Myanmar #Rohingya
;