Mahkamah Israel tegur Netanyahu pegang banyak jawatan

Agensi
Julai 8, 2015 15:19 MYT
Selain perdana menteri, Netanyahu (gambar) turut memegang jawatan sebagai portfolio sebagai menteri luar, menteri kesihatan dan menteri komunikasi.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu kini berdepan satu konflik politik yang baharu selepas seorang hakim kanan menyatakan seorang perdana menteri tidak boleh, mengikut undang-undang, memegang jawatan bagi portfolio kementerian yang lain dalam kabinet.
Hakim Mahkamah Agung Israel, Hanan Melcer pada Selasa berkata hal itu sebelum ini dibenarkan di bawah undang-undang namun pindaan kepada perlembagaan telah menghapuskan peruntukan itu.
"Oleh itu, perdana menteri tidak lagi boleh berkhidmat sebagai seorang menteri dan sebarang kerangka yang membenarkan keadaan seperti itu tidak boleh diterima," katanya seperti dipetik oleh portal berita Haaretz.
Tambah beliau, seorang perdana menteri hanya boleh berkhidmat sebagai seorang menteri sekiranya ada menteri yang letak jawatan, meninggal dunia atau hilang kemampuan untuk meneruskan tugas, dan itu pun bersifat sementara.
Selain perdana menteri, Netanyahu turut memegang jawatan sebagai portfolio sebagai menteri luar, menteri kesihatan dan menteri komunikasi.
Hakim Mahkamah Agung itu membuat kenyataan tersebut semasa mengetuai panel lima hakim mendengar satu petisyen mengenai kedudukan seorang timbalan menteri yang memangku tugas sebagai menteri.
Petisyen itu berkait dengan keputusan mahkamah pada 2009 yang melarang seorang timbalan menteri memikul tanggungjawab lebih besar daripada jawatannya.
Petisyen itu menyentuh kedudukan Timbalan Menteri Kesihatan, Yakov Litzman dari parti ultra ortodoks yang turut memangku tugas sebagai menteri.
Semasa pendengaran petisyen itu, beberapa orang hakim menarik perhatian bagaimana Litzman mempunyai keistimewaan yang tidak dinikmati oleh timbalan-timbalan menteri yang lain seperti menyertai mesyuarat kabinet.
Haaretz dalam satu laporan lain menyebut kenyataan hakim mahkamah agung itu boleh memberi kesan besar kepada pakatan politik yang baru dibentuk oleh Netanyahu tidak sampai dua bulan yang lalu.
Keputusan mahkamah berhubung kedudukan timbalan menteri kesihatan itu juga akan memberi kesan kepada kedudukan portfolio kementerian lain yang kini dipegang oleh Netanyahu selain mencorakkan dinamika baru dalam pakatan yang masih baharu itu.
#Benjamin Netanyahu #Israel #Perdana Menteri
;