Mahkamah halang larangan muat turun aplikasi WeChat di AS
Agensi
September 21, 2020 09:30 MYT
September 21, 2020 09:30 MYT
Mahkamah California pada Ahad menyekat perintah kerajaan Amerika Syarikat (AS) ke atas larangan muat turun aplikasi media sosial WeChat.
Hakim Laurel Beeler memutuskan bahawa perintah eksekutif pentadbiran Presiden Donald Trump yang mengharamkan muat turun WeChat adalah satu sekatan melampau ke atas kebebasan bersuara pengguna aplikasi tersebut.
Beeler mengeluarkan perintah injunksi permulaan di seluruh negara bagi menangguhkan langkah pengharaman WeChat di negara itu.
Mahkamah juga mengambil kira keperluan komunikasi dan budaya diaspora China di AS yang menggunakan platform itu.
Hakim Beeler mengakui bahawa WeChat memberikan perkhidmatan penting kepada komuniti Cina-Amerika, bukan hanya komunikasi dengan orang tersayang, tetapi dalam perkhidmatan kesihatan, pendidikan, dan perniagaan.
Hakim Beeler menyatakan bahawa bukan hanya kerajaan melanggar pindaan pertama, tetapi setiausaha perdagangan melampaui kuasa dalam usaha melarang sebuah aplikasi.
Dalam statistik awal Ogos lalu mendapati WeChat, yang dimiliki oleh syarikat China Tencent, memiliki rata-rata 19 juta pengguna aktif setiap hari di AS.
Sabtu lalu, AS mengeluarkan perintah melarang muat turun aplikasi video popular, TikTok dan menyekat penggunaan aplikasi China, WeChat, atas alasan keselamatan negara.
Pegawai AS menyifatkan langkah itu penting bagi keselamatan negara kerana Presiden AS, Donald Trump, kini bergelut dengan Beijing dalam beberapa isu sehingga menyukarkan kempen pemilihan semulanya.