Mahkamah di China jatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas warga AS kerana mengintip

Bernama
Mei 15, 2023 18:37 MYT
John Shing-Wan Leung yang memiliki pasport AS dan menetap di Hong Kong, disabitkan bersalah oleh mahkamah di bandar timur Suzhou. -Gambar hiasan/Bernama
BEIJING: Mahkamah di China menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atas warga Amerika Syarikat (AS) berusia 78 tahun atas tuduhan mengintip, lapor agensi berita (dpa) Jerman.
John Shing-Wan Leung yang memiliki pasport AS dan menetap di Hong Kong, disabitkan bersalah oleh mahkamah di bandar timur Suzhou dekat Shanghai, pada Isnin.
Aset Leung bernilai kira-kira 500,000 yuan (US$72,000) turut dirampas.
Tidak banyak maklumat diperoleh mengenai dakwaan terhadap Leung selain dia ditahan pada April 2021.
Sejak hubungan antara kedua-dua negara semakin merosot beberapa tahun kebelakangan ini, AS turut mengambil tindakan terhadap warga China yang dituduh mengintip.
Sementara itu, pihak berkuasa China memulakan siasatan pengintipan ke atas firma perunding asing yang beroperasi di negara itu dengan menggelidah pejabat syarikat berkenaan di Beijing, Shanghai, Shenzhen, Suzhou dan bandar-bandar lain.
Pada hujung April, China meminda undang-undang pengintipan untuk turut meliputi bukan sahaja rahsia negara malah "kepentingan negara" yang tafsirannya kurang jelas.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #John Shing-Wan Leung #hukuman penjara seumur hidup #tuduhan mengintip
;