Mahkamah Chile dakwa bekas pegawai tentera bakar warga AS

APTN
Julai 25, 2015 10:22 MYT
Veronica de Negri (kiri), ibu Rodrigo Rojas yang dibunuh ketika rejim diktator, Alicia Lira (kanan), presiden Association of Relatives of Political Prisoners Executed dan peguam hak asasi manusia, Francisco Ugas. - Foto AFP/Claudia Reyes
Hakim Mahkamah Chile mendakwa tujuh bekas anggota tentera kerana membunuh seorang warga Amerika Syarikat dengan membakar mangsa.
Tertuduh didakwa melakukan perbuatan tersebut ketika kejadian rusuhan menentang pemerintahan diktator yang berlaku di antara tahun 1973 dan 1990 di bawah rejim Augusto Pinochet.
Hakim Mario Carroza mendakwa tujuh bekas pegawai tentera pada Jumaat atas pertuduhan pembunuhan berencana dalam kematian pembakaran warga AS Rodrigo Rojas yang berusia 19 tahun ketika itu dan berkhidmat sebagai jurugambar.
Rojas meninggal dunia pada 6 Julai 1986, empat hari selepas tentera terbabit menyimbahnya bersama seorang lagi rakannya Carmen Gloria Quintana dengan petrol sebelum bertindak membakar mereka. Quintana mendakwa beliau dan Rojas telah diseksa sebelum dibakar hidup-hidup dan ditinggalkan di sebuah perkampungan terpencil sebelum diselamatkan oleh orang kampung di situ.
Quintana bagaimanapun terselamat selepas menjalani rawatan rapi di hospital di Kanada.
Dakwaan selepas 29 tahun tersebut susulan rayuan yang dibuat ibu Rojas kepada Presiden Chile, Michelle Bachelet.
Rayuan ibu Rojas turut menyarankan penutupan penjara tentera Punta Peuco yang dikatakan menyediakan tempat tinggal eksklusif kepada pesalah tentera.
#Chile #Michelle Bachelet #Quintana #Rodrigo Rojas
;