Mahkamah beri perlindungan kepada lebah California
Sinar Harian
Jun 8, 2022 09:20 MYT
Jun 8, 2022 09:20 MYT
LOS ANGELES: Sebuah mahkamah rayuan di California baru-baru ini telah memutuskan lebah boleh mendapat perlindungan sebagai haiwan terancam seperti mana ikan dan burung.
Keputusan itu yang dikeluarkan pada 31 Mei lalu mengubah penghakiman terdahulu yang mendapati lebah tidak boleh dianggap sebagai hidupan terancam di bawah Akta Spesies Terancam California.
Sebelum ini sebuah mahkamah rendah membuat keputusan yang memihak kepada kepentingan pertanian dengan berhujah Akta Spesies Terancam negeri hanya melindungi burung, mamalia, ikan, amfibia, reptilia termasuk tumbuhan dan bukannya lebah.
Keputusan terbaharu ini adalah kemenangan bagi kumpulan alam sekitar serta Suruhanjaya Ikan dan Mergastua negeri yang telah mendesak untuk menyenaraikan empat spesies lebah sebagai serangga terancam.
Mahkamah itu juga membenarkan suruhanjaya tersebut untuk menyenaraikan spesies invertebrata seperti lebah sebagai terancam walaupun ia bukannya haiwan akuatik.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.