Mahkamah Australia tolak rayuan Rusia untuk kekal tapak kedutaan

Bernama
Jun 26, 2023 07:05 MYT
Pada 15 Jun, kerajaan Australia meluluskan undang-undang baharu bagi menghalang Rusia membina kedutaan berhampiran bangunan Parlimen di Canberra atas faktor keselamatan negara. - Gambar fail
SYDNEY: Mahkamah Tinggi Australia menolak rayuan kerajaan Rusia pada Isnin untuk mengekalkan lokasi baharu kedutaan di Canberra, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pada 15 Jun, kerajaan Australia meluluskan undang-undang baharu bagi menghalang Rusia membina kedutaan berhampiran bangunan Parlimen di Canberra atas faktor keselamatan negara.
Hakim Mahkamah Tinggi Jayne Jagot menolak permohonan Rusia untuk mendapatkan injunksi bagi menghalang Australia mendapatkan semula kawasan itu ketika proses mahkamah masih berjalan.
Keputusan itu bermakna pihak berkuasa boleh memiliki semula tanah itu dan seorang lelaki dipercayai diplomat Rusia yang didakwa tinggal di kawasan itu boleh diarah keluar.
Perdana Menteri Australia Anthony Albanese berkata kerajaan menyambut baik keputusan Mahkamah Tinggi itu.
"Mahkamah telah menjelaskan bahawa tiada asas undang-undang untuk kehadiran Rusia diteruskan pada masa ini.
"Kami menjangkakan Persekutuan Rusia akan mematuhi keputusan Mahkamah itu," katanya pada sidang media.
Pada sidang media yang sama, beliau mengumumkan pakej baharu ketenteraan dan kemanusiaan bagi menyokong Ukraine bernilai AUD$110 juta (US$73 juta).
Jika Rusia mencabar keputusan mahkamah itu, kes berkenaan akan didengar semula.
Moscow masih mempunyai misi di Australia, di premis sedia ada di Griffith, di pinggir bandar raya Canberra.
-- BERNAMA
#konflik Rusia-Ukraine #Kedutaan Rusia #Australia #keputusan mahkamah