Mahkamah Agung Venezuela sahkan Maduro menang pilihan raya

Bernama
Ogos 23, 2024 12:00 MYT
Suruhanjaya pilihan raya secara rasmi mengumumkan kemenangan Maduro, yang memegang jawatan itu sejak 2013. - Gambar fail/ Reuters
BUENOS AIRES: Mahkamah Agung Venezuela pada Khamis mengesahkan kemenangan Presiden Nicolas Maduro dalam pilihan raya pada 28 Julai lalu.
Suruhanjaya pilihan raya secara rasmi mengumumkan kemenangan Maduro, yang memegang jawatan itu sejak 2013.
Namun, keputusan terperinci bagi setiap daerah pengundian masih belum dikeluarkan.
"Mahkamah Agung telah meneliti dokumen pilihan raya dan bersetuju bahawa Maduro memenangi pilihan raya itu," kata Ketua Hakim Caryslia Rodriguez.
Beliau menegaskan bahawa keputusan itu tidak boleh dirayu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Sementara itu, pihak pembangkang menuduh kerajaan melakukan penipuan pilihan raya dan mendakwa kemenangan berpihak kepada calon mereka, Edmundo Gonzalez.
Gonzalez dalam satu hantaran di platform media sosial X mendakwa bahawa keputusan mahkamah adalah tidak sah dan kedaulatan terletak pada rakyat dan tidak boleh dipindah milik.
Sebuah kumpulan pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menulis dalam laporan awal bahawa pilihan raya itu tidak memenuhi "langkah-langkah integriti dan ketelusan" yang diperlukan untuk dianggap boleh dipercayai.
-- BERNAMA
#Venezuela #Presiden Nicolas Maduro #pilihan raya #keputusan