Mahkamah Agung Maldives larang bekas presiden bertanding dalam pilihan raya

Bernama
Ogos 7, 2023 14:30 MYT
Bekas presiden itu sebelum ini telah dijatuhi hukuman penjara 11 tahun kerana rasuah dan pengubahan wang haram. - Gambar fail/EPA
MOSCOW: Mahkamah Agung Maldives melarang bekas Presiden Abdulla Yameen dari Parti Progresif Maldives (PPM) bertanding dalam pilihan raya presiden akan datang, lapor Sputnik memetik media Maldives.
Bekas presiden itu sebelum ini telah dijatuhi hukuman penjara 11 tahun kerana rasuah dan pengubahan wang haram.
Yameen menyerahkan kertas pencalonan pada 1 Ogos, lapor akhbar Avas.
Pilihan raya presiden itu akan diadakan pada September tahun ini.
Pada 2019, Yameen dijatuhi hukuman penjara lima tahun kerana pengubahan wang haram dan pada pertengahan Disember 2018, mahkamah jenayah membekukan akaun bank Yameen bernilai 100 juta rufiyaa Maldivian (AS$6.5 juta).
Bagaimanapun, pada 2021 Mahkamah Agung membatalkan hukuman penjara lima tahun itu.
Perbicaraan semula kes itu telah diadakan pada Januari 2022.
Pada Disember 2022, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun kerana rasuah dan pengubahan wang haram serta memerintahkan Yameen membayar denda AS$5 juta.
-- BERNAMA
#bekas presiden Maldives #Abdulla Yameen #dilarang bertanding #pilihan raya presiden
;