Mahkamah Agung Bangladesh batalkan sistem kuota pekerjaan

Bernama
Julai 21, 2024 13:59 MYT
Isu sistem kuota pekerjaan sebelum ini telah mencetuskan perdebatan dan rasa tidak puas hati banyak pihak, hingga menular ke protes jalanan. - Reuters
NEW DELHI: Sebuah mahkamah tinggi Bangladesh pada Ahad telah membatalkan keputusan untuk memperkenalkan semula sistem kuota perkhidmatan awam susulan protes besar-besaran membantah rancangan itu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) memetik BBC Bangla.
Mahkamah Agung Bangladesh memutuskan bahawa 93 peratus daripada semua pelantikan akan berdasarkan merit berkuat kuasa serta-merta dengan lima peratus diperuntukkan kepada keturunan veteran perang kemerdekaan 1971 dan dua peratus kepada orang daripada kaum minoriti atau kurang upaya.
Sistem kuota asal memperuntukkan lebih daripada separuh pekerjaan sektor awam untuk kumpulan berkenaan.
Ia dilihat memihak kepada penyokong Perdana Menteri Sheikh Hasina dan Liga Awami.
Kuota yang lebih tinggi telah dibatalkan pada 2018 tetapi diperkenalkan semula oleh mahkamah lebih rendah bulan lepas, kata penyiar itu.
Lebih 100 orang terbunuh dalam keganasan yang tercetus pada Selasa, lapor BBC Bangla memetik akhbar Prothom Alo dan The Daily Star.
-- BERNAMA
#Bangladesh #mahkamah #sistem kuota pekerjaan #merit