Maharaja yang memecah tradisi: Kisah hidup Akihito

Nailah Huda
April 30, 2019 10:03 MYT
Akihito bersama Michiko Shoda di Tokyo Lawn Tennis Club, Tokio pada 6 Disember 1968. - Foto Reuters
MAHARAJA JEPUN, Maharaja Akihito yang bakal turun dari takhta pada Selasa, merupakan maharaja yang pertama melepaskan takhtanya dalam sejarah empayar Jepun sejak 200 tahun lalu.
Siapakah Maharaja Akihito dan mengapa legasi yang ditinggalkan baginda menjadi signifikan kepada rakyat negara 'matahari terbit' itu?
Membesar dalam suasana peperangan
Akihito yang merupakan putera sulung kepada Maharaja Hirohito dan Maharani Nagako, dilahirkan pada 23 Disember 1933, dan mempunyai enam adik beradik.
Pada usia 11 tahun, Akihito dibawa lari dari Tokyo ke kawasan pergunungan apabila tercetusnya Perang Dunia Kedua.
Menerusi siaran radio, baginda telah mendengar pengumuman bapanya pada 15 Ogos 1945 bahawa Jepun menyerah diri lalu mengakhiri perang tersebut.
Memecah tradisi sejak muda
Sejak kecil, putera itu banyak melakar sejarah dengan memecah tradisi empayar Jepun.
Tidak seperti bapanya yang membesar dengan mendapat pendidikan melalui latihan ketenteraan, beliau mendapat pengajian dalam bahasa Inggeris daripada seorang guru warga Amerika.
Seterusnya, beliau melanjutkan pengajian di sekolah menengah berasrama Gakushuin sehingga ke tahap kolej, yang mana beliau dilaporkan hidup secara bersederhana bersama rakan-rakannya.
Pada tahun 1957, Putera Akihito bertemu isterinya, Michiko Shoda pada ketika itu sedang berlangsung kejohanan tenis di sebuah resort yang terletak di Karuizawa.
Mereka kemudiannya berkahwin pada 10 April 1959, lalu melakar sejarah sebagai perkahwinan yang pertama terjalin antara pewaris takhta bersama orang kebanyakan.
Sebagai Maharaja, beliau sekali lagi memecah tradisi apabila melutut kepada mangsa gempa bumi ketika membuat lawatan ke bandar di belah barat Kobe pada 1995.
Pembaharuan dalam persahabatan luar negara
Setelah menaik takhta sebagai Maharaja pada tahun 1990 susulan kematian bapanya pada tahun sebelumnya, Akihito menjadi raja pertama yang melawat China pada 1992.
Beliau meluahkan perasaan menyesal dan meminta maaf kepada rakyat China, malah juga kepada rakyat Korea atas penderitaan di tangan Jepun ketika peperangan tercetus.
Dalam ucapannya pada tahun 2015 sempena ulang tahun ke-70 kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua, beliau meluahkan rasa kesal atas peperangan tersebut yang jarang sekali dilakukan oleh mana-mana wakil diraja negara itu.
Tahun ini pula menyaksikan Akihito membuat seruan agar Jepun lebih terbuka dan terus berusaha untuk menjalin ikatan yang ikhlas bersama negara lain.
#Akihito #China #Emperor Akihito #Jepun #Korea #Maharaja #monarki #Perang Dunia Kedua #turun takhta
;