Maharaja Jepun zahirkan harapan masa depan lebih cerah disebalik COVID-19

Astro Awani
Februari 23, 2021 12:07 MYT
Maharaja Naruhito bertitah sempena sambutan hari keputeraan Baginda di Istana Akasaka di Tokyo, Jepun pada 23 Februari 2021. - REUTERS
TOKYO: Maharaja Naruhito menzahirkan harapan agar masa depan Jepun lebih cerah ketika negara matahari terbit itu memulakan program imunisasi COVID-19.
Dalam titahnya sempena hari keputeraan Baginda ke-61 pada Selasa, Baginda turut menzahirkan rasa syukur jumlah jangkitan baharu di seluruh negara menunjukkan trend penurunan.
Majlis sambutan hari keputeraan tersebut dilakukan secara kecil-kecilan susulan penularan wabak COVID-19.
"Beta rasa bersyukur kerana jumlah kes jangkitan baharu menunjukkan trend penurunan di seluruh negara. Di samping itu, program imunisasi kebangsaan telah bermula.
"Beta harapkan masa depan yang lebih cerah ketika negara memerangi wabak ini dan rakyat dilihat saling membantu dalam hadapi saat yang sukar ini," titah Baginda.
Jepun memulakan program imunisasi COVID-19 bulan ini menggunakan vaksin keluaran Pfizer-BioNTech.
Namun bekalan dos vaksin masih tidak mencukupi dan suntikan untuk warga emas akan diberikan secara beransur-ansur, kata ketua program tersebut pada Isnin.
Sebelum ini, ribuan pengunjung akan melawati Istana Maharaja bagi mendoakan kesejahteraan dan menandatangani buku pelawat pada hari keputeraan Mahajara - tradisi yang telah diamalkan sejak 1948.
Mahajara Jepun bersama ahli keluarga diraja yang lain akan berkumpul di balkoni istana untuk bertemu dengan para pengunjung.
Namun kesemua acara berkenaan telah dibatalkan tahun ini.
Sambutan tahun baharu bersama Maharaja Naruhito turut digantikan dengan ucapan video sahaja.
Maharaja Naruhito adalah cucu kepada Maharaja Hirohito, dan merupakan anggota monarki pertama dilahirkan selepas Perang Dunia Kedua.
Baginda menaiki takhta pada 2019 selepas ayahandanya, Maharaja Akihito melepaskan takhta.
#Maharaja Naruhito #Hari Keputeraan #COVID-19 #Jepun
;