Maghribi: Raja Mohammed VI ketuai program kecemasan untuk mangsa gempa Al-Haouz

Bernama
September 15, 2023 18:06 MYT
Raja Mohammed VI melawat salah seorang mangsa gempa bumi yang menerima rawatan di Hospital Mohammed VI beberapa hari lalu. - AP
MARRAKESH: Raja Mohammed VI mempengerusikan mesyuarat penting pada Khamis (14 Sept) yang didedikasikan untuk mengaktifkan program kecemasan bagi menempatkan semula mangsa bencana dan membantu mangsa dan golongan rentan susulan kejadian gempa bumi Al Haouz.
Program komprehensif itu, akan merangkumi dua komponen utama iaitu langkah-langkah penempatan semula sementara dan pembinaan semula kediaman dengan serta-merta, menurut Pejabat Diraja Maghribi menerusi laman sesawangnya memetik titah baginda.
"Versi pertama program perumahan semula ini meliputi kira-kira 50,000 kediaman atau sebahagian rumah yang runtuh di lima wilayah yang terjejas.
"Ia termasuk langkah-langkah penempatan semula sementara, khususnya penginapan yang direka untuk menahan cuaca sejuk dan buruk; atau di penempatan sementara yang dilengkapi dengan semua kemudahan yang diperlukan.
"Di samping itu, bantuan kecemasan sebanyak 30,000 dirham (AS$3,000) akan diberi kepada isi rumah berkenaan.
"Program itu juga terdiri daripada pembinaan semula serta merta, yang akan dilaksanakan selepas operasi kepakaran awal dan kerja penyediaan dan penstabilan tanah dijalankan.
"Untuk tujuan ini, bantuan kewangan terus sebanyak 140,000 dirham (AS$14,000) telah diperuntukkan untuk kediaman yang roboh sepenuhnya, dan 80,000 dirham (AS$8,000) untuk menampung kerja-kerja pemulihan di rumah yang rosak," titah baginda menerusi kenyataan Pejabat Diraja.
Raja Mohammed VI menekankan kepentingan pembinaan semula infrastruktur selaras dengan warisan dan keunikan seni bina di rantau ini.
Dalam mesyuarat itu, baginda turut membincangkan isu kritikal penjagaan segera bagi anak-anak yatim yang ditinggalkan tanpa keluarga atau sumber akibat gempa bumi.
"Kanak-kanak ini akan didaftarkan dan diberikan status "wards of nation". Untuk melindungi mereka daripada risiko dan kerapuhan, kerajaan telah diperintahkan untuk mempercepatkan pelaksanaan undang-undang yang diperlukan untuk perlindungan mereka."
Sekurang-kurangnya 2,946 orang terbunuh manakala 5,674 lagi cedera apabila gempa bumi berukuran 7 pada skala Richter melanda Maghribi pada Jumaat lalu (8 Sept).
-- BERNAMA
#gempa bumi #Maghribi #al-haouz #Raja Mohammed VI #program kecemasan
;