Maghribi berduka pemergian Rayan
Astro Awani
Februari 6, 2022 18:07 MYT
Februari 6, 2022 18:07 MYT
MAGHRIBI: Rakyat Maghribi berduka dengan pemergian Rayan, kanak-kanak lelaki berusia 5 tahun yang terperangkap selama lima hari dalam sebuah perigi kering di negara itu.
Rata-rata mereka bersolidariti dengan kematian Rayan dan mengucapkan takziah kepada keluarga kanak-kanak malang itu.
Namun, semangat Rayan yang mampu bertahan untuk beberapa hari sebelum menghembuskan nafas terakhir akan dikenang setiap orang.
Di laman Twitter, #SaveRayan terus digunakan pengguna media sosial dengan dihujani kesedihan dan ucapan takziah dengan pemergian Rayan.
"Semangat Rayan akan terus kekal dalam memori dan memberi inspirasi kepada kami" merupakan antara
mesej yang ditulis di laman sosial sebagai menterjemahkan rasa sedih netizen.
Dalam pada itu, Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa dan turut merasai kesedihan dirasai rakyat Maghribi.
Selain itu, Raja Maghribi, Raja Mohammed VI turut menyifatkan insiden berkenaan sebagai kemalangan yang tragik dan menzahirkan simpati kepada keluarga Rayan.
Rayan dilaporkan terjatuh ke dalam perigi kering sedalam 32 meter pada petang Selasa semasa bapanya sedang membaiki perigi itu.
Susulan itu, kerja-kerja menyelamat Rayan digerakkan bermula pada hari kejadian dengan menggunakan peralatan menyelamat dan mengorek perigi berkenaan.
Pasukan penyelamat terpaksa menggali tanah merah di sekeliling perigi kering itu sehingga ke paras di mana kanak-kanak itu terperangkap dan melakukan penggerudian untuk mencapainya dari sisi.
Pada akhirnya kerja menggerudi dihentikan, dan digantikan dengan mengorek tanah menggunakan tangan bagi mengelak risiko tanah runtuh yang akan menimbus kanak-kanak berkenaan.
Namun, segalanya ketentuan Tuhan apabila Rayan tidak mampu lagi bertahan dan pada lewat malam Sabtu, istana mengesahkan kanak-kanak malang itu meninggal dunia sejurus selepas dikeluarkan dan dibawa ke hospital berdekatan.