Maghribi bangun semula kawasan musnah akibat gempa bumi

Bernama
Oktober 14, 2023 19:22 MYT
Usaha kini tertumpu kepada keluarga terjejas dan mempercepat proses pemulihan dan pembangunan semula serta memastikan perkhidmatan asas tersedia. - Gambar fail
MAGHRIBI akan menjalankan usaha pemulihan dan membina semula kawasan yang musnah akibat gempa bumi kuat yang telah meragut hampir 3,000 nyawa pada 8 September, kata Raja Mohammed VI.
Dalam ucapan semasa membuka Sidang Pertama Parlimen ke-11, baginda bertitah mengenai keperluan untuk membantu keluarga yang terjejas dan mempercepat proses pemulihan dan pembangunan semula serta memastikan perkhidmatan asas tersedia.
"Di sebalik bencana itu, penderitaan dapat dikurangkan hasil bantuan masyarakat awam dan rakyat Maghribi di dalam dan luar negara yang telah menunjukkan solidariti kepada mangsa yang ditimpa musibah," titah Raja Mohammed, lapor Agensi Berita Maghribi (MAP).
Raja Mohammed bertitah kerajaan akan membangunkan projek besar, termasuk projek perlindungan sosialyang akan menjadi tonggak model sosial dan pembangunan negara.
Program bantuan sosial akan dilaksanakan menjelang akhir tahun ini bagi meningkatkan taraf hidup keluarga sasaran, memerangi kemiskinan, selain meningkatkan indikator pembangunan sosial dan manusia, titah baginda.
Menurut laporan media, sekurang-kurangnya 2,946 orang terbunuh dan 5,674 lain cedera dalam gempa bumi berukuran pada 7 skala Richter itu.
Institut Geofizik Kebangsaan Maghribi berkata gempa bumi itu yang paling kuat pernah melanda negara ini dalam tempoh seabad.
-- BERNAMA
#Maghribi #gempa bumi #mangsa terjejas #pembangunan semula
;