Magawa, tikus hero bantu kesan periuk api, bersara dari perkhidmatan

Agensi
Jun 12, 2021 16:16 MYT
Ribuan rakyat Kemboja berterima kasih pada Magawa kerana membantu mereka mendapatkan tanah yang selamat untuk didiami. - Reuters
SEEKOR tikus yang tugasnya membantu pasukan pengesan periuk api dan telah lima tahun berkhidmat di Kemboja akan bersara bulan ini, lapor Reuters.
Sepanjang tempoh perkhidmatannya, ia telah membantu melakukan pengesanan lebih 70 periuk api di seluruh negara itu.
Magawa, seekor tikus Afrika berusia 6 tahun, pernah dibimbing oleh APOPO, sebuah organisasi amal di Belgium. Di situ, tikus-tikus Afrika dan anjing dilatih untuk mengesan periuk api dan tuberkulosis.
Dilahirkan di Tanzania pada bulan November 2013, ia ditempatkan di Universiti Pertanian Sokoine iaitu 'sekolah' ia dilatih untuk mengesan bahan letupan.
Magawa 'tamat belajar' tiga tahun kemudian dan berpindah ke Siem Reap, Kemboja untuk memulakan tugas.
Selama lima tahun terakhir, Magawa telah berjaya menemukan 71 buah periuk api dan 38 'bahan letupan yang tidak meledak', serta membantu menjadikan tanah seluas lebih dari 225,000 meter persegi selamat untuk didiami penduduk Kemboja.
Atas jasanya, Magawa dianugerahkan Civilian Award for Animal Bravery atau pingat keberanian untuk haiwan oleh People’s Dispensary for Sick Animals. Itu merupakan penghormatan awam tertinggi yang diberikan oleh badan amal itu.
Ini menjadikannya tikus pertama yang menerima anugerah berkenaan dalam sejarah 77 tahun badan amal itu, kerana sebelum ini kebanyakan haiwan yang diberi penghoratan adalah seperti anjing, kucing dan kuda.
Magawa bakal menikmati hari-hari persaraannya dengan diberi makanan, ruang sendiri dan tempat bermain di APOPO Visitor Centre.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu!
#tikus #letupan #bom #lombong #Belgium #Kemboja #Magawa
;