'Mafia' bantu orang ramai elak jalani kuarantin, Indonesia lakukan siasatan
Astro Awani
April 29, 2021 12:22 MYT
April 29, 2021 12:22 MYT
JAKARTA: Sejak beberapa hari lalu, kes ‘mafia’ kuarantin yang berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta, Indonesia menjadi bahan perdebatan panjang di negara jiran itu.
Polis Jakarta membongkar kegiatan ‘mafia’ berkenaan yang menawarkan perkhidmatan melepaskan diri daripada menjalani kuarantin sebaik tiba dari luar negara kepada warganegara Indonesia (WNI) dan warganagera asing (WNA).
Menurut polis, dua individu dikesan dibayar sebanyak Rupiah 6.5 juta (RM1,840) oleh WNI yang baru tiba dari India untuk melepasi proses kuarantin selama 14 hari yang menjadi syarat wajib ditetapkan kerajaan Indonesia.
Pihak berkuasa juga turut menahan empat WNI yang membantu lima WNA agar tidak perlu menjalani proses kuarantin di Indonesia.
Indonesia telah menetapkan peraturan setiap rakyat tempatan yang kembali ke tanah air dan warganegara asing yang baru tiba di negara itu harus mengikuti protokol kesihatan dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19.
Dalam perkembangan sama, Kementerian Pengangkutan negara itu juga sedia membantu pihak polis untuk menyiasat aktiviti yang dilakukan ‘mafia’ berkenaan.
“Pihak berkuasa lapangan terbang sedia memberi kerjasama dalam memastikan proses siasatan berjalan lancar,” kata Ketua Pengarah kementerian itu, Novie Riyanto.