Madrid laksana perintah berkurung, lebih 5 juta penduduk terkesan

Khairunnisa Kasnoon
Oktober 4, 2020 23:07 MYT
Restoran dan bar di Madrid dan sembilan bandar lain akan ditutup bermula jam 10 malam waktu tempatan pada hari Jumaat. - Foto AP
MADRID: Penguatkuasaan baharu yang dilaksanakan Madrid pada Jumaat memberi kesan kepada hampir lima juta penduduk di bandar itu dan sembilan bandar raya jiran yang lain.
Pada Jumaat, Madrid melaksanakan perintah berkurung buat kali kedua selepas angka jangkitan di Sepanyol mencecah sehingga 810,807 kes.
Penduduk di Madrid dilarang meninggalkan wilayah itu mulai Jumat malam, menjadikannya ibu kota Eropah pertama yang kembali menguatkuasakan perintah berkurung susulan peningkatan kes.
Restoran dan bar di Madrid dan sembilan bandar lain akan ditutup bermula jam 10 malam waktu tempatan pada hari Jumaat.
Penduduk dinasihati untuk tidak keluar rumah kecuali jika benar-benar diperlukan, dan polis turut menubuhkan pusat pemeriksaan untuk mengawal laluan utama masuk dan keluar dari bandar.
Madrid mencatat lebih dari 2.2 juta perjalanan sehari antara bandar dan daerah-daerah lain di wilayah berkenaan.
Dalam pada itu, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menegaskan, angka yang meningkat menunjukkan pemerintah perlu sedar betapa seriusnya COVID-19.
#sepanyol #koronavirus #Madrid #perintah berkurung #COVID-19 #Pedro Sanchez
;