Macron umum Kabinet baharu Perancis di bawah pimpinan Elisabeth Borne
Astro Awani
Mei 21, 2022 10:25 MYT
Mei 21, 2022 10:25 MYT
PARIS: Presiden Perancis, Emmanuel Macron mengumumkan Kabinet berwajah baharu selepas beberapa rombakan dilakukan termasuk perdana menteri wanita pertama dalam tempoh 30 tahun.
Tiga menteri kanan iaitu Gerald Darmanin di Kementerian Dalam Negeri, Bruno Lemaire untuk ekonomi dan menteri kehakiman Eric Dupond-Moretti terselamat daripada perubahan besar ketika Macron memulakan penggal keduanya.
Catherine Colonna, seorang diplomat dan duta Perancis ke Britain, mengambil alih portfolio hal ehwal luar negara kerana Perancis terlibat secara mendalam dalam usaha antarabangsa untuk menyokong Ukraine menentang pencerobohan Rusia dan mengasingkan Kremlin.
Dipimpin oleh perdana menteri Elisabeth Borne, keutamaan Kabinet baharu akan cuba mendapatkan majoriti Parlimen yang diperlukan Macron untuk melaksanakan cadangan dasar semasa berkempen pada pilihan raya presiden bulan lalu.
Pilihan raya Parlimen Perancis untuk menentukan kerusi dalam Dewan Negara diadakan dalam dua pusingan pengundian pada bulan Jun dan parti-parti di kedua-dua sayap kiri dan sayap kanan cuba mengurangkan majoriti berpusat kepada Macron.
Pelantikan Kabinet diumumkan oleh pejabat Macron dalam satu kenyataan.
Sarjana kulit hitam Perancis yang juga pakar pergerakan hak minoriti, Pap Ndiaye, dinamakan sebagai menteri pendidikan baharu Perancis.
Ndiaye sebelum ini bertanggungjawab ke atas muzium imigresen yang dikendalikan kerajaan Perancis.