Lyudmila Navalnaya tuntut mayat anak lelakinya daripada Vladimir Putin
Agensi
Februari 20, 2024 07:15 MYT
Februari 20, 2024 07:15 MYT
MOSCOW: Lyudmila Navalnaya iaitu ibu kepada Ketua Pembangkang Rusia, Alexei Navalny yang meninggal dunia di penjara negara itu pada 16 Februari lalu, telah meminta Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk segera memulangkan mayat anaknya.
Dalam video yang dirakam di luar tempat Navalny meninggal dunia, Lyudmila berkata, dia telah cuba untuk mengesan mayat anaknya, tetapi sehingga kini tidak tahu di mana keberadaannya.
Dalam masa sama, isteri mendiang Navalny, Yulia Navalnaya menggesa pihak berkuasa untuk tidak menghalang orang ramai daripada mengucapkan selamat tinggal kepada suaminya.
Keluarga Navalny telah dimaklumkan mayat mendiang tidak akan dibebaskan selama dua minggu.
Ibunya diberitahu mayat anaknya ditahan untuk "analisis kimia", kata wakil Navalny.
Tiada pengesahan mengenai keberadaan mayat itu daripada pihak berkuasa Rusia, manakala usaha untuk mengesannya telah berulang kali disekat.
Yulia sebelum ini mendakwa, mayat suaminya disimpan sehingga sisa racun Novichok hilang dari tubuhnya.
Mendiang Navalny terselamat daripada percubaan untuk membunuhnya menggunakan racun itu pada 2020.
Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov menyifatkan tuduhan itu "tidak berasas."
Ibu Navalny membuat rayuan terus kepada Presiden Putin di luar jajahan penjara Siberia yang dikenali sebagai Polar Wolf, di mana kematiannya diumumkan pada 16 Februari.
"Saya tidak dapat melihatnya selama lima hari, mereka enggan memberikan mayatnya kepada saya dan mereka tidak memberitahu di mana dia berada..
"Saya minta (daripada) kamu, Vladimir Putin - semuanya bergantung pada kamu sahaja. Beri saya peluang jumpa anak saya. Saya menuntut agar mayat Alexei dibebaskan segera supaya saya boleh memberinya pengebumian yang layak," kata Lyudmila.
Luahan rasa Lyudmila dikongsi oleh menantunya di laman media sosial X.
“Saya tidak peduli bagaimana jurucakap kerajaan mengulas mengenai apa yang saya suarakan,” tegasnya merujuk kepada Peskov.
Yulia juga secara langsung menuduh Putin membunuh suaminya.
"Kembalikan mayat Alexei dan biarkan dia dikebumikan dengan penuh maruah, jangan menghalang orang yang mengucapkan selamat tinggal kepadanya," ujar Yulia.
Pada Isnin, Yulia berikrar untuk meneruskan kerja suaminya untuk memperjuangkan "Rusia yang bebas."
Kematian Navalny di penjara diumumkan pada Jumaat lalu.
Pihak berkuasa penjara Siberia berkata, Navalny rebah selepas berjalan-jalan.
Navalny telah didakwa mengalami "sindrom kematian mengejut."
Ibu dan peguam mendiang bergegas ke penjara berkenaan sebaik menerima berita itu.
Bagaimanapun, cubaan untuk mengesan mayat berulang kali dinafikan pengurusan penjara dan pihak berkuasa tempatan.
Pada hari Isnin pula, Kremlin berkata siasatan terhadap kematian Navalny sedang berjalan dan "tiada keputusan" setakat ini.
Navalny, yang merupakan pemimpin pembangkang kanan Rusia sejak sedekad lalu telah menjalani hukuman 19 tahun atas tuduhan bermotifkan politik.
Pemimpin Barat meletakkan kesalahan kematian Navalny pada Presiden Putin dan sekatan baharu terhadap Rusia mungkin akan menyusul.
Amerika Syarikat (AS) dilaporkan akan mengumumkan "pakej sekatan utama" pada Jumaat ini sebagai maklum balas agar “Rusia bertanggungjawab” atas kematian Navalny, kata jurucakap Keselamatan Negara, John Kirby pada Selasa.
Kesatuan Eropah juga telah memberi isyarat bahawa ia sedang mempertimbangkan sekatan baharu, manakala Setiausaha Luar United Kingdom, Lord Cameron pula menjangkakan Britain dan seluruh kumpulan negara kaya G7 menyasarkan individu yang dikaitkan dengan kematian Navalny. - Agensi