Lupakan sambutan mega, majlis perkahwinan dirai bersama golongan memerlukan

Agensi
Mei 19, 2020 09:01 MYT
Dengan berpakaian pengantin, mereka menziarahi kira-kira 50 buah rumah dan memberi kit bantuan yang berisi antaranya beras, gula, serbuk teh, bawang, ubi kentang dan garam. - Foto AP
PERINTAH berkurung akibat pandemik COVID-19 yang dilaksanakan di banyak negara di seluruh dunia menyaksikan majlis-majlis besar tertangguh, termasuk majlis perkahwinan.
Bagi pasangan yang sedang dalam perancangan, pastinya penangguhan majlis memberi impak yang besar buat mereka, apatah lagi jika persiapan sudah hampir siap.
Di Sri Lanka, pasangan Darshana Kumara Wijenarayana dan Pawani Rasanga menghabiskan masa beberapa bulan merancang majlis perkahwinan besar-besaran pada 27 April.
Bagaimanapun, susulan penularan wabak tersebut, mereka dinasihatkan keluarga dan rakan supaya menangguhkan majlis.
Namun begitu, memandangkan perintah berkurung di kawasan itu hanya terhad untuk waktu malam sahaja, mereka tetap meneruskan majlis, tetapi dengan jemputan yang terhad.
Menariknya, pasangan pengantin baharu ini memilih untuk meraikan majlis itu bersama golongan yang memerlukan.
Selepas selesai upacara memotong kek, mereka bergegas ke kawasan kejiranan yang miskin dan menghulurkan bantuan bekalan makanan kepada mereka.
Dengan berpakaian pengantin, Darshana, 30 tahun, dan Pawani, 25 tahun, menziarahi kira-kira 50 buah rumah dan memberi kit bantuan yang berisi antaranya beras, gula, serbuk teh, bawang, ubi kentang dan garam.
Mereka turut memberi barang permainan buat kanak-kanak.
Darshana merupakan pemilik kedai runcit kecil sementara Pawani ialah pembantu makmal sekolah, yang tinggal di Malimbada, sebuah pekan kecil kira-kira 160km dari ibu negara, Colombo.
Mereka berkata, ia sesuatu yang mengujakan untuk berkongsi kegembiraan dengan mereka yang memerlukan terutama kanak-kanak dan orang yang susah.
#COVID-19 #Darshana Kumara Wijenarayana #Pawani Rasanga #perkahwinan #Sri Lanka
;