Lupakan saja tali leher: PM Sepanyol ajak pegawai kerajaan, pekerja swasta jimat tenaga

Agensi
Julai 30, 2022 11:21 MYT
Sanchez menambah, kerajaan pimpinannya akan membentangkan perancangan mengenai penjimatan tenaga pada minggu depan. - AP
MADRID: Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez meminta para pegawai kerajaan dan mereka yang bekerja dalam sektor swasta supaya menjimatkan tenaga dengan melupakan saja pemakaian tali leher ke tempat kerja, lapor AP.
Sewaktu muncul dalam sidang media dengan hanya berkemeja putih tanpa tali leher, dan dipadankan dengan jaket biru, Sanchez menjelaskan bahawa beliau tampil dalam gaya kurang formal itu bukan sekadar aspek santai, sebaliknya untuk mengurangkan penggunaan tenaga – dipercayai pendingin hawa, walau beliau tidak menyatakannya.
“Saya mahu anda lihat bahawa saya tidak memakai tali leher. Itu bermakna kita semua boleh berjimat dari sudut penggunaan tenaga,” ujar Sanchez dalam sidang media berkaitan prestasi tahunan Kabinetnya.
Beliau menambah, para menteri dan pekerja kerajaan dialu-alukan untuk berbuat demikian: “Jika ia tidak perlu, jangan pakai tali leher.”
Selama sebulan, Sepanyol mengalami musim panas, dengan suhu di beberapa kawasan di negara itu mencecah 40 darjah Celsius. Kerajaan juga mendesak orang ramai supaya mengurangkan kos tenaga elektrik dengan tidak menggunakan pendingin hawa secara berlebihan.
Peningkatan kos tenaga bagi isi rumah dan perniagaan di Sepanyol menjadi isu besar sejak beberapa bulan kebelakangan ini, trutamanya sejak serangan Rusia ke atas Ukraine pada Februari.
Sanchez menambah, kerajaan pimpinannya akan membentangkan perancangan mengenai penjimatan tenaga pada minggu depan namun belum diperincikan. Katanya, pelan itu direka untuk mengurangkan bil elektrik dan kebergantungan tenaga daripada ‘penindas’, iaitu Presiden Rusia Vladimir Putin.
#sepanyol #Pedro Sanchez #talli leher #jimat tenaga
;