Lupakan ego, pemimpin terbesar gereja Katolik cium kaki pemimpin Sudan Selatan
Astro Awani
April 12, 2019 20:42 MYT
April 12, 2019 20:42 MYT
Pemimpin terbesar gereja Katolik pada Khamis dilihat membelakangkan ego dan tunduk sujud lalu mencium kaki beberapa pemimpin politik dari Sudan Selatan, merayu supaya mereka berdamai.
Kejadian yang mengejutkan itu berlaku ketika Pope Francis mengadakan pertemuan dengan Presiden Sudan Salva Kiir Mayardit dan ketua pembangkang Riek Machar yang dalam rangka lawatan ke Vatican selama dua hari.
Dalam pertemuan itu, Pope Francis memohon agar kedua-dua pemimpin berkenaan mengembalikan keamanan di negara Afrika itu.
"Sebagai saudara anda, saya memohon supaya anda berdamai. Saya merayu dari setulus hati saya, majulah, dan lupakan perkara lalu.
“Memang akan ada banyak masalah, tetapi kita tidak boleh tewas dengan masalah. Selesaikan masalah anda," beliau dipetik berkata Reuters.
Francis, 82 tahun, juga dilaporkan menggesa kedua-dua mereka supaya mengawal perselisihan faham antara mereka supaya ia "hanya di antara kalian berdua, di dalam pejabat anda."
"Tetapi, di hadapan khalayak, peganglah tangan, bersatulah," tambahnya, berucap dalam bahasa Itali sambil diterjemahkan oleh jurubahasa.
Langkah sujud dan mencium kaki pemimpin politik Sudan Selatan itu dibuat sebagai usaha supaya kedua-dua pemimpin berkenaan dapat mencapai kata putus demi membawa keamanan berpanjangan ke Sudan Selatan.
Sudan Selatan berpisah dengan Sudan pada 2011.
Namun, negara berkenaan terjerumus dalam kancah perang saudara dua tahun selepas merdeka, mengakibatkan sekurang-kurangnya 400,000 maut setakat ini.
#Africa
#cium kaki
#keamanan
#pemimpin
#Pope Francis
#south sudan
#Sudan
#sudan selatan
#sujud
#Vatican