AS lulus tambahan AS$9 bilion hapus hutang pendidikan

Agensi
Oktober 5, 2023 07:36 MYT
Biden berkata pengumuman terbaru itu menjadikan jumlah pembatalan hutang yang diluluskan oleh pentadbirannya meningkat kepada USD127 bilion, memanfaatkan kira-kira 3.6 juta rakyat negara itu - Foto/REUTERS
WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat hari ini meluluskan tambahan AS$9 bilion bagi tujuan pelepasan hutang pendidikan melibatkan 125,000 peminjam.
Presidennya, Joe Biden berkata pengumuman terbaru itu menjadikan jumlah pembatalan hutang yang diluluskan oleh pentadbirannya meningkat kepada AS$127 bilion, memanfaatkan kira-kira 3.6 juta rakyat negara itu.
Jelas Biden, beliau akan meneruskan langkah baharu untuk memberikan pelepasan pinjaman pelajar kepada rakyat Amerika Syarikat selepas Mahkamah Agung menyekat rancangannya untuk membatalkan hutang ratusan bilion dolar.
"Seterusnya, kami membetulkan apa yang dipanggil program pembayaran balik berasaskan pendapatan.
"Begini caranya... jika anda mempunyai pinjaman sarjana muda, selepas 20 tahun pembayaran terus dan tidak culas membayar hutang secara bulanan, baki pinjaman anda akan "diampunkan" selepas 20 tahun.
"Tetapi disebabkan kegagalan pentadbiran, sesetengah orang yang membayar pinjaman mereka selama 20 tahun atau lebih tidak mendapat pelepasan hutang yang mereka perolehi. Kami membetulkannya dan memastikan peminjam mendapat kredit untuk setiap pembayaran yang mereka buat," katanya seperti dilapor Reuters.
Daripada peruntukan tambahan tersebut, ia antaranya meliputi US$5.2 bilion bagi pelepasan hutang tambahan untuk 53,000 peminjam di bawah Program Pengampunan Pinjaman Perkhidmatan Awam.
Selain itu, hampir US$2.8 bilion meliputi pelepasan hutang baharu untuk kira-kira 51,000 peminjam melalui pembaikan kepada pembayaran balik berasaskan pendapatan.
Manakala, US$1.2 bilion lagi memanfaatkan hampir 22,000 peminjam kurang upaya yang telah dikenal pasti dan diluluskan melalui padanan data dengan Pentadbiran Keselamatan Sosial.
#Joe Biden #Amerika Syarikat #hutang pendidikan #pupus hutang