AS lulus daging ayam pertama dibuat dalam makmal
Astro Awani
Jun 22, 2023 19:50 MYT
Jun 22, 2023 19:50 MYT
SACRAMENTO: Pengawal selia Amerika Syarikat (AS) pada Rabu meluluskan penjualan daging ayam diperbuat daripada sel haiwan.
Jabatan Pertanian AS memberi lampu hijau kepada Upside Foods and Good Meat sebagai syarikat pertama di negara itu untuk menjual daging yang bukan berasal dari haiwan yang disembelih.
Dua syarikat dari California itu bakal menawarkan daging "makmal" ke meja restoran seluruh negara dan seterusnya ke rak pasar raya.
Konsep daging "dikultur" itu diperkenal dalam usaha menzahirkan era baharu pengeluaran daging yang bertujuan menghapuskan kemudaratan kepada haiwan dan secara drastik mengurangkan kesan kepada alam sekitar.
Daging "dikultur" dihasilkan di dalam tangki keluli menggunakan sel yang berasal daripada haiwan hidup, telur yang disenyawakan, atau tangki simpanan sel khas.
Di kilang Upside, ia dihasilkan menjadi kepingan besar yang kemudiannya dibentuk menjadi seperti potongan ayam dan sosej.
Difahamkan Good Meat telah mula menjual daging tersebut di Singapura -- negara pertama yang membenarkan penjualan daging tersebut -- dengan menukar sel ayam menjadi kepingan kecil, nugget, daging cencang, dan sate.