Luigi Mangione didakwa bunuh eksekutif Unitedhealth Group

Agensi
Disember 18, 2024 10:00 MYT
Luigi Mangione, yang dituduh menembak mati eksekutif Unitedhealth Group, Brian Thompson, di Manhattan bulan ini, didakwa atas tuduhan membunuh pada Selasa. - Gambar Reuters
NEW YORK: Luigi Mangione yang dituduh menembak mati eksekutif Unitedhealth Group, Brian Thompson, di Manhattan bulan ini, didakwa atas tuduhan membunuh pada Selasa.
Menurut pendakwa raya New York, Mangione menghadapi 11 pertuduhan, termasuk pembunuhan darjah pertama dan pembunuhan sebagai jenayah keganasan.
"Ini adalah pembunuhan yang menakutkan, dirancang dengan teliti, dan disasarkan, bertujuan untuk menyebabkan kejutan, perhatian dan intimidasi," kata Peguam Daerah Manhattan, Alvin Bragg kepada wartawan.
Pendakwaan memaklumkan Mangione membunuh Thompson dengan tujuan mempengaruhi dasar kerajaan melalui intimidasi atau paksaan.
Peguam itu menjelaskan, pembunuhan itu dirancang dengan teliti, disasarkan dan bertujuan mencetuskan kejutan serta intimidasi.
Menurutnya, kejadian itu telah menimbulkan kebimbangan yang serius dalam masyarakat.
Peguam bela Mangione, bagaimanapun enggan memberikan sebarang komen kepada media.
Mangione, lulusan Ivy League, didakwa membunuh Thompson pada 9 Disember di luar hotel Manhattan, sebelum persidangan syarikat berlangsung yang mana Mangione ditahan di Pennsylvania selepas lima hari diburu.
Perbicaraan ekstradisinya dijadualkan berlangsung pada Khamis di Pennsylvania.
Sebelum ini, laporan media sosial dan kenyataan rakan-rakan menyebut Mangione mengalami kesakitan belakang kronik yang menjejaskan kehidupannya.
Sementara itu, Unitedhealth group menegaskan, Mangione bukan pelanggan syarikat insurans mereka.
#tuduhan bunuh #Luigi Mangione #Brian Thompson #Unitedhealth Group
;