Lubnan perlu adakan pilihan raya awal - Hassan Diab
Astro Awani
Ogos 8, 2020 06:30 MYT
Ogos 8, 2020 06:30 MYT
PERDANA Menteri Lubnan Hassan Diab berkata negara itu perlu mengadakan pilihan raya awal sebagai jalan penyelesaian terhadap kemelut yang sedang melanda.
Dalam ucapannya pada Sabtu, beliau turut merancang mencadangkan perkara tersebut dalam satu draf rang undang-undang pada Mesyuarat Kabinet, Isnin ini.
Kenyataan tersebut dibuat ketika pasukan keselamatan negara itu sedang bertempur dengan penunjuk perasaan di ibu kota Beirut, di tengah-tengah ketegangan kejadian letupan kuat, baru-baru ini.
Hassan dalam pada itu menggesa semua parti politik agar mengetepikan perselisihan antara mereka.
"Kita berada dalam keadaan darurat, dan bukan hanya kerana malapetaka ini dan bagaimana menanganinya. Keadaan darurat yang saya katakan adalah berkait dengan hala tuju negara ini dan masa depannya.
"Oleh itu, saya minta semua parti politik bersetuju dengan tempoh ini. Kita tidak ada banyak masa. Saya sedia mengambil tanggungjawab untuk dua bulan lagi hingga mereka mencapai persetujuan," katanya.
Bercakap menerusi ucapan yang disiarkan melalui televisyen pada petang Sabtu, Hassan berkata, beliau sedia kekal dalam jawatan itu selama dua bulan untuk memberi masa kepada ahli politik melakukan reformasi struktur.
Sekurang-kurangnya 160 orang terbunuh dan lebih 6,000 cedera setakat ini dalam kejadian letupan kuat di pelabuhan Beirut pada Selasa lalu.
#beirut
#darurat
#draf undang-undang
#Hassan Diab
#kemelut
#letupan Beirut
#lubnan
#parti politik
#Penunjuk perasaan
#Perdana Menteri
#perselisihan
#pilihan raya
#Pilihan raya awal