Lubnan kemuka aduan terhadap Israel ceroboh ruang udara

Bernama
Ogos 21, 2024 17:00 MYT
Gambar fail sebuah kawasan di wilayah Galilea, Lubnan menunjukkan asap susulan serangan Israel. - AP
BEIRUT: Lubnan mengemukakan aduan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) pada Isnin selepas pesawat perang Israel melanggar batasan bunyi (sound barrier) di beberapa kawasan termasuk Beirut, lapor Agensi Anadolu.
Kementerian Luar Lubnan dalam satu kenyataan memaklumkan aduan itu merujuk kepada pelanggaran ruang udara Lubnan oleh pesawat perang Israel, termasuk insiden melanggar batasan bunyi di ibu negaranya.
Aduan dari Lubnan itu mengecam tindakan Israel sebagai "pelanggaran jelas terhadap kedaulatan negara dan Resolusi Majlis Keselamatan 1701 yang dikeluarkan pada 2006."
"Tindakan ini adalah bertentangan dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa, yang melarang hukuman kolektif dan ugutan psikologi, terutamanya amalan yang bertujuan untuk menyebarkan ketakutan di kalangan orang awam, sekali gus meningkatkan penderitaan kumpulan yang paling terdedah seperti kanak-kanak," menurut kementerian itu.
Pesawat perang Israel melanggar batasan bunyi di beberapa kawasan di Lubnan hampir setiap hari, menghasilkan bunyi kuat sama seperti letupan bom, mencetuskan panik dalam kalangan penduduk.
Kebimbangan terhadap perang antara Israel dan Hezbollah semakin meningkat di tengah-tengah serangan rentas sempadan yang semakin meningkat, terutama selepas pembunuhan komander kanan Hezbollah, Fuad Shukr di Beirut pada 30 Julai lalu.
-- BERNAMA
#kekejaman israel #lubnan #ruang udara #undang-undang antarabangsa