Lubnan-Israel semakin panas, cetus perang lebih luas
Astro Awani
November 14, 2023 09:20 MYT
November 14, 2023 09:20 MYT
BEIRUT: Korban pertempuran selama berminggu-minggu merentasi sempadan Lubnan-Israel telah meningkat di kedua-dua belah pihak, pada Isnin.
Perang mulut mencetuskan kebimbangan konflik yang semakin meluas antara Israel dan kumpulan Lubnan yang disokong Iran, Hezbollah.
Serangan Israel mengorbankan dua orang di selatan Lubnan pada Isnin.
Di pihak Israel, serangan peluru berpandu Hezbollah pada Ahad mencederakan beberapa pekerja dari syarikat elektrik Israel dan seorang meninggal dunia akibat kecederaannya pada Isnin.
Hezbollah telah menentang tentera Israel sejak sekutu Palestinnya Hamas berperang dengan Israel pada 7 Oktober.
Pertempuran itu menandakan keganasan paling dahsyat di sempadan sejak Israel dan Hezbollah berperang selama sebulan pada 2006.
Setakat ini, lebih 70 pejuang Hezbollah dan 10 orang awam telah terbunuh di Lubnan dan 10 orang termasuk tujuh tentera telah terbunuh di Israel.
Israel telah berkata ia tidak mahu perang di bahagian utaranya kerana ia berusaha untuk menghancurkan Hamas di Semenanjung Gaza.
Manakala Hezbollah berkata, serangannya telah direka untuk memastikan tentera Israel sibuk sambil mengelakkan peperangan habis-habisan.
Sebelum ini Amerika Syarikat (AS) berkata, ia tidak mahu konflik merebak di seluruh wilayah dan telah menghantar dua kapal pengangkut pesawat ke kawasan itu untuk menghalang Iran daripada terlibat.
Tetapi itu tidak menghentikan retorik yang semakin meningkat dari Hezbollah dan Israel.
Pemimpin Hezbollah, Sayyed Hassan Nasrallah berkata, barisan Lubnan akan "kekal aktif" dan terdapat "peningkatan kuantitatif" dalam kepantasan operasi kumpulan itu.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu pula memberi amaran kepada Hezbollah supaya tidak meluaskan serangannya.