Lubang benam gergasi 'muncul' di Mexico

Reuters
Jun 6, 2021 08:50 MYT
Lubang itu pada mulanya hanya berukuran lima meter namun saiznya menjadi berkali ganda hanya dalam beberapa jam. -Foto REUTERS
PUEBLA: Lubang benam berdiameter 60 meter muncul di sebuah ladang di tengah Mexico, sekali gus memberi ancaman terhadap rumah yang berada di kawasan tersebut.
Lubang benam di Puebla itu mempunyai kedalaman sekitar 20 meter, kata Gabenor Negeri, Miguel Barbosa Huerta.
Semua keluarga yang tinggal berhampiran telah dipindahkan dan setakat ini, tiada sebarang laporan mengenai kecederaan.
Huerta bagaimanapun mengingatkan penduduk setempat untuk menjauhkan diri dari kawasan itu buat sementara waktu.
Menurut Setiausaha Alam Sekitar, Beatriz Manrique, lubang itu pada mulanya hanya berukuran lima meter namun saiznya menjadi berkali ganda hanya dalam beberapa jam.
"Kami berpendapat ia mungkin terhasil daripada dua faktor, iaitu tanah yang lembap memandangkan aktiviti penanaman sedang giat berjalan, dan juga serapan air bawah tanah, yang melembutkan tanah," kata Manrique.
Siasatan dan kajian sedang dijalankan dan dijangka mengambil masa sehingga 30 hari.
Lubang benam berlaku apabila permukaan tanah hilang sokongan, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Ini boleh berlaku kerana beberapa sebab, termasuk hakisan batu di bawah permukaan tanah ketika air lalu di bawah tanah, meninggalkan satu ruang kosong yang menyebabkan permukaannya runtuh.
#Mexico #lubang benam #tanah #tanah runtuh #air #geologi
;