LSD: Australia uji ternakan lembunya susulan pemberhentian import Indonesia

Bernama
Ogos 1, 2023 11:41 MYT
Indonesia menghentikan import lembu dari empat kemudahan Australia selepas individu diuji positif LSD, dicirikan oleh nodul pada kulit dan boleh memudaratkan petani. - Gambar hiasan/Unsplash
CANBERRA: Australia sedang menguji ternakan lembunya untuk penyakit kulit berketul (LSD) selepas Indonesia menghentikan import haiwan itu dari empat fasilitinya kerana bimbang penularan wabak, lapor Xinhua.
Menteri Pertanian Murray Watt pada Isnin berkata Australia kekal bebas daripada virus berjangkit itu.
Indonesia menghentikan import lembu dari empat kemudahan Australia selepas individu diuji positif LSD, dicirikan oleh nodul pada kulit dan boleh memudaratkan petani.
Watt berkata sejurus selepas dimaklumkan mengenai isu itu pada petang Jumaat, kerajaan meminda tindak balas kecemasan, termasuk ujian diagnostik cepat terhadap lembu di seluruh utara Australia.
"Pegawai Australia bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk meyakinkan mereka bahawa semua haiwan yang dieksport dari Australia mematuhi semua keperluan Indonesia, termasuk bebas daripada LSD.
"Indonesia telah menghentikan eksport dari empat kemudahan Australia sementara menunggu ujian lanjut terhadap haiwan, tetapi eksport lembu hidup ke Indonesia diteruskan manakala 28 pertubuhan berdaftar tersedia untuk digunakan oleh pengeksport yang ingin berdagang," menurutnya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Penularan LSD boleh memusnahkan industri, menyekat eksport lembu selain mengakibatkan pengeluaran susu berkurangan, tumbesaran yang lemah dan ketidaksuburan.
Ketua Pegawai Veterinar Australia Mark Schipp berkata LSD adalah penyakit virus mudah berjangkit terhadap lembu dan kerbau yang disebarkan oleh gigitan serangga namun tidak mendatangkan risiko kepada manusia.
"Australia mempunyai sistem biosekuriti yang canggih untuk pemantauan berterusan terhadap status penyakit haiwan Australia termasuk untuk LSD," katanya.
-- BERNAMA
#lembu #penyakit kulit berketul #LSD #Australia #Indonesia
;