Love Scam: Wanita rugi RM140,000 ditipu 'angkasawan'
Faida Rahim
Oktober 11, 2022 06:00 MYT
Oktober 11, 2022 06:00 MYT
TOKYO: Gara-gara dilamun cinta, seorang wanita Jepun berputih mata selepas terpedaya dengan sindiket Love Scam.
Wanita berusia 65 tahun yang menetap di bandar Higashiomi City itu dilaporkan bertemu lelaki berkenaan di Instagram dengan memperkenalkan diri sebagai angkasawan Rusia yang bekerja di Stesen Angkasa Antarabangsa.
Lapor saluran Yomiuri Shimbun, pasangan ini kemudian menjalin hubungan cinta sejak Jun lalu dan meneruskan hubungan menerusi telefon.
Dalam pada itu, sebuah kenyataan dikeluarkan di Balai Polis Higashi Omi pada 7 Oktober lalu.
“Lelaki itu mengajak wanita itu berkahwin selepas dia tiba ke bumi,” kata wakil pihak berkuasa.
Sementara itu, lelaki berkenaan bertindak menjalankan modus operandi dengan meminta ‘kekasihnya’ menghantar duit berjumlah AS$30,000 (4.4mil yen atau RM140,160) sebagai caj mendarat ke bumi.
Difahamkan, wanita itu melakukan lima kali transaksi wang antara Ogos dan September.
Curiga dengan permintaan wang yang berterusan, wanita itu kemudian membuat laporan polis.