Lori bawa penumpang terbalik, 25 maut termasuk pemain, penyokong bola sepak

Bernama
Jun 5, 2023 12:20 MYT
Siasatan menyeluruh sedang dijalankan untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai kemalangan itu. - Gambar/ FB Malawi Government
KARONGA (Malawi): Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh manakala 12 lagi cedera dalam kemalangan jalan raya di Karonga, sebuah daerah di utara Malawi, pada Sabtu.
Seramai 18 orang maut di tempat kejadian, manakala tujuh lagi, yang dikenal pasti sebagai pemain dan penyokong Kelab Bola Sepak Nyungwe, meninggal dunia di Hospital Daerah Karonga, kata David Sibale, pengarah Kesihatan dan Perkhidmatan Sosial Majlis Daerah Karonga.
Menurut laporan awal, kemalangan berlaku sekitar 8 malam waktu tempatan, apabila sebuah lori sepuluh tan yang membawa 80 penumpang dan dalam perjalanan dari Chitipa ke Karonga, dilaporkan hilang kawalan lalu terbalik lalu melanggar pembahagi jalan.
George Mulewa, jurucakap Polis Karonga, berkata siasatan menyeluruh sedang dijalankan untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai kemalangan ini.
Malawi menyaksikan peningkatan kemalangan jalan raya sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan 1,529 orang terbunuh manakala 573 lagi cedera dalam 5,553 kemalangan pada 2022.
-- BERNAMA
#lori bawa penumpang #penyokong kelab bola sepak #kemalangan jalan raya #Malawi
;