Longgar sekatan COVID-19, kes jangkitan di Indonesia dan Thailand bakal meningkat
Astro Awani
September 1, 2021 07:46 MYT
September 1, 2021 07:46 MYT
BANGKOK: Pakar kesihatan awam memberi amaran kes jangkitan baharu COVID-19 di Thailand dan Indonesia kembali meningkat, susulan kadar vaksinasinya yang masih rendah.
Amaran ini dikeluarkan ketika dua negara berkenaan melonggarkan sekatan, susulan penurunan kes COVID-19.
Asia Tenggara sebelum ini dianggap berjaya menangani COVID-19 dengan baik.
Namun ia berubah menjadi pusat penularan global dalam beberapa bulan terakhir, gara-gara varian Delta.
Indonesia dan Thailand, dua kuasa ekonomi Asia Tenggara, mula melonggarkan sekatan, termasuk dalam sektor sosial bagi meredakan tekanan.
Langkah ini dilaksanakan, walaupun jumlah kes masih tinggi di sebahagian besar wilayahnya.
Indonesia melaporkan 10,534 kes baharu pada Selasa sementara Thailand merekodkan 14,802 kes pada Rabu.
Pakar menyatakan kelonggaran diberikan membawa bahaya susulan tahap vaksinasi yang rendah dan kekurangan ujian saringan dengan kadar positif sering melebihi 5 peratus yang disarankan WHO.
Penyelaras Kesihatan Kecemasan Asia Pasifik Persekutan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah, Abhishek Rimal berkata, pembukaan semula tanpa memenuhi kriteria WHO mengundang kebimbangan.
Jelasnya, penularan varian Delta ditambah dengan kadar vaksinasi rendah menyebabkan berlaku lonjakan kes baharu.
Indonesia telah mencatat lebih daripada 4 juta kes COVID-19 secara keseluruhan dan lebih daripada 133,000 kematian akibat virus itu sejak awal wabak ini menular.
Manakala thailand telah melaporkan 11,841 kematian dan 1.2 juta kes positif.
Kedua-dua negara mempunyai kadar vaksinasi pertama sekitar 30 peratus dengan Indonesia telah memberikan vaksinasi sepenuhnya pada kadar 17 peratus dan Thailand 11 peratus.
ibu kota kedua negara ini, jakarta dan bangkok, mempunyai tahap vaksinasi yang jauh lebih tinggi.
Di Jakarta, restoran dibenarkan beroperasi pada kapasiti 50 peratus, pusat membeli belah dibuka sehingga jam 9 malam dan kilang-kilang dibenarkan beroperasi pada kadar 100 peratus kapasiti.
Manakala di Bangkok pula, restoran dibenarkan dibuka pada kapasiti 50 hingga 75 peratus dan pusat membeli belah dibuka hingga jam 8 malam.