London sedia tindakan balas jika AS kenakan tarif ke atas produk Britain - Laporan

Bernama
Februari 4, 2025 18:01 MYT
Trump sebelum ini mengancam memperkenalkan tarif terhadap Kesatuan Eropah dan tidak menolak untuk mengenakan tarif terhadap UK.- Gambar fail
MOSCOW: United Kingdom (UK) sedang mempersiapkan tindakan balas sekiranya Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengenakan tarif ke atas produk-produk Britain, lapor Financial Times pada Isnin, memetik seorang pegawai Britain yang tidak dinamakan, menurut laporan Sputnik/RIA Novosti.
Trump sebelum ini sering mengancam untuk memperkenalkan tarif terhadap Kesatuan Eropah (EU) dan tidak menolak untuk mengenakan tarif terhadap barangan dari UK.
"Kami bersedia," kata pegawai Britain itu kepada akhbar berkenaan.
"Kami berharap untuk bekerjasama rapat dengan Presiden Trump tetapi menteri-menteri akan sentiasa melakukan apa yang terbaik untuk kepentingan negara," katanya.
Sebelum ini, Trump menandatangani perintah eksekutif yang memperkenalkan tarif ke atas barang-barang dari Kanada, Mexico dan China. Trump kemudiannya mengumumkan pengecualian tarif selama sebulan ke atas Mexico selepas negara itu bersetuju untuk menghantar 10,000 tentera ke sempadan selatan Amerika Syarikat untuk memerangi penyeludupan dadah dan aliran pendatang tanpa izin.
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #tarif #Donald Trump #United Kingdom
;