London pertimbang tempatkan tentera udara, tentera laut lindungi tenggara Eropah
Bernama
Februari 8, 2022 18:11 MYT
Februari 8, 2022 18:11 MYT
MOSCOW: United Kingdom (UK) sedang mempertimbang untuk menempatkan jet pejuang Typhoon dan kapal perang Tentera Laut Diraja untuk melindungi tenggara Eropah dan mengukuhkan pasukan tempur British di Estonia, kata Perdana Menteri UK Boris Johnson.
"Kami sedang mempertimbang untuk mengerahkan pejuang RAF Typhoon dan kapal perang Tentera Laut Diraja untuk melindungi tenggara Eropah," lapor Sputnik, memetik kata-kata Perdana Menteri UK Boris Johnson kepada The Times pada Isnin.
Barat akan melakukan lebih banyak lagi untuk membantu Ukraine mempertahankan dirinya, tambah Johnson, sambil menyatakan bahawa UK sedang bersedia untuk mengukuhkan pasukan perang NATO yang diketuai British di Estonia.
"Sekutu NATO bersetuju untuk kami bersedia menghantar lebih banyak pasukan bagi menjamin keselamatan sekutu kami di sayap timur. Menteri-menteri luar Latvia dan Estonia telah meminta sokongan tambahan kerana kehadiran tentera Rusia di Belarus. Kami bersiap sedia untuk menghantarkannya," kata Johnson.
Dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini, Barat dan Ukraine telah menuduh Rusia mengumpulkan tentera berhampiran sempadan Ukraine sebagai persediaan untuk menceroboh. Rusia menjawab ia tidak berniat untuk menceroboh Ukraine sambil menegaskan ia mempunyai hak untuk memindahkan tenteranya di dalam wilayah sendiri.
Rusia juga telah menyatakan kebimbangan terhadap aktiviti ketenteraan NATO berhampiran sempadannya dan sokongan ketenteraan berterusan ke atas Ukraine, termasuk di wilayah Donbas yang menjadi pertikaian kedua-dua pihak.
Menteri Luar Rusia Sergey Lavrov berkata Moscow tidak menolak ketegangan di sekitar Ukraine didorong oleh Barat yang bertujuan menyembunyikan rancangan Kiev untuk mensabotaj Perjanjian Minsk mengenai Donbas.
-- BERNAMA
#United Kingdom
#tentera
#Tentera Laut
#Tentera Udara
#jet pejuang Typhoon
#tenggara Eropah
#Boris Johnson