Lombong emas haram runtuh di Sulawesi Tengah, misi menyelamat mangsa dipergiat

Agensi
Februari 25, 2021 17:10 MYT
Puluhan individu dipercayai masih tertimbus di lokasi tragedi, menurut laporan media tempatan. - AP
JAKARTA: Pasukan penyelamat di wilayah Sulawesi Tengah, Indonesia terus menggiatkan usaha mencari saki-baki mangsa tragedi tanah runtuh yang berlaku pada Rabu lalu, di sebuah kawasan lombong emas haram.
Reuters melaporkan, dalam insiden itu sekurang-kurangnya tiga mangsa sidah disahkan maut manakala lebih ramai lagi dikhuatiri masih tertimbus.
Pihak berkuasa tempatan yang berada di lokasi kejadian memberitahu, kemungkinan untuk mangsa-mangsa berkenaan ditemui dalam keadaan bernyawa adalah sangat tipis.
Pasukan penyelamat yang terdiri daripada anggota polis, tentera dan agensi pengurusan bencana menggunakan jentera berat untuk membantu usaha pencarian.
Sekurang-kurangnya 15 orang berjaya diselamatkan pada Khamis, menurut agensi pengurusan bencana wilayah.
Kejadian tanah runtuh di Kampung Buranga itu berlaku pada Rabu petang selepas hujan lebat, dengan sekurang-kurangnya lima orang dilaporkan hilang, kata Andi Sembiring dari agensi pengurusan kecemasan dalam satu kenyataan media.
Media tempatan melaporkan puluhan lagi individu masih hilang.
Jumlah mangsa dipercayai lebih tinggi daripada yang telah direkodkan setakat ini, ujar pegawai misi mencari dan menyelamat (SAR) dari Palu, Fatmawati.
#lombong emas #lombong haram #tanah runtuh #lombong runtuh #kampung buranga #Sulawesi Tengah #Indonesia #tragedi #misi menyelamat
;