Loji oksigen tunggal di Gaza berisiko ditutup akibat kekurangan bahan api

Bernama
Jun 10, 2024 07:30 MYT
Bulan lepas, tentera Israel menawan bahagian sempadan Rafah milik Palestin, satu laluan penting untuk bantuan kemanusiaan ke Gaza. - Foto REUTERS
GAZA: Loji pengeluaran oksigen tunggal di Bandaraya Gaza berisiko ditutup dalam beberapa jam akibat kekurangan bahan api yang serius, menurut Kementerian Kesihatan pada Isnin.
"Loji oksigen di Bandaraya Gaza hampir ditutup dalam beberapa jam, meletakkan nyawa pesakit dan orang yang cedera dalam risiko kematian pasti," lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan kementerian itu.
Kementerian itu memberi amaran bahawa ubat-ubatan yang disimpan dalam peti sejuk kemungkinan besar akan rosak akibat kekurangan diesel yang diperlukan untuk mengendalikan generator.
Bulan lepas, tentera Israel menawan bahagian sempadan Rafah milik Palestin, satu laluan penting untuk bantuan kemanusiaan ke Gaza dan ini memburukkan lagi keadaan kemanusiaan yang sudah pun sukar di wilayah itu.
Serangan tanpa henti oleh Israel juga menyebabkan hospital yang tinggal di seluruh wilayah berkenaan tidak dapat beroperasi.
Pihak berkuasa kesihatan Palestin telah mengeluarkan rayuan untuk menyelamatkan sistem kesihatan yang kini tidak mampu menangani jumlah mangsa yang terlalu ramai akibat pengeboman intensif oleh Israel.
Israel terus melancarkan serangan kejam ke atas Gaza, membunuh lebih daripada 37,120 rakyat Palestin dan mencederakan 84,700 yang lain sejak 7 Okt walaupun terdapat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menuntut gencatan senjata segera.
-- BERNAMA
#Palestin #loji oksigen tunggal #ubat #perang
;