Loji kuasa nuklear Zaporizhzhia alami kerosakan selepas serangan Ukraine

Bernama
Ogos 12, 2024 07:50 MYT
Gambar fail loji nklear Zaporizhzhia (ZNPP) pada 29 Ogos 2022 sebelum mengalami kerosakan serius buat kali pertama sejak serangan dan pengeboman oleh tentera Ukraine bermula. -Reuters
MOSCOW: Infrastruktur Loji Kuasa Nuklear Zaporizhzhia (ZNPP) mengalami kerosakan serius buat kali pertama sejak serangan dan pengeboman oleh tentera Ukraine bermula, lapor Xinhua.
"Infrastruktur Loji Kuasa Nuklear Zaporizhzhia kali pertama mengalami kerosakan serius akibat serangan oleh Angkatan Tentera Ukraine," kata Pengarah Komunikasi ZNPP, Yevgenia Yashina dipetik Agensi Berita TASS Rusia pada Ahad.
Beliau mendakwa Ukraine melancarkan serangan itu menggunakan dron kamikaze.
Meskipun berlaku kerosakan dan kebakaran di kemudahan sistem penyejukan, Yashina berkata bahawa operasi loji itu tidak terjejas.
"Menara penyejuk digunakan untuk penyejukan tetapi pada masa ini, unit reaktor ditutup dan menara itu tidak digunakan. Sprinkler pools adalah mencukupi untuk tujuan penyejukan pada masa ini," katanya.
Terdahulu, gabenor wilayah Zaporizhzhia, Yevgeny Balitsky mendakwa bahawa sistem penyejukan ZNPP terbakar akibat serangan Ukraine.
Beliau memberi jaminan bahawa kesemua enam unit reaktor di loji itu berada dalam keadaan tertutup.
Ketika pihak Rusia menuduh Kyiv sengaja cuba memusnahkan loji berkenaan dan mencetuskan "insiden nuklear," pengendali tenaga nuklear milik kerajaan Ukraine, Energoatom mendakwa bahawa kecuaian atau perbuatan khianat Rusia mungkin menyebabkan kebakaran itu.
-- BERNAMA
#Zaporizhzhia #loji nuklear #kerosakan serius #Ukraine