Loceng terakhir sudah berbunyi, Pacquiao umum bersara, mahu fokus pemilihan Presiden Filipina
Agensi
September 29, 2021 15:51 MYT
September 29, 2021 15:51 MYT
MANILA: Jaguh tinju dunia dari Filipina, Manny Pacquiao sudah bertarung beratus kali sepanjang kariernya.
Selepas menempuhi karier yang berjaya - gelaran dunia dalam lapan kategori berbeza - akhirnya Pacquiao mengumumkan persaraannya pada Rabu.
Beliau membuat keputusan sukar itu bagi memberi tumpuan penuh pada pertarungan terbesar dalam karier politiknya, mencalonkan diri sebagai Presiden dalam pilihan raya Filipina pada tahun depan.
Senator Filipina itu yang telah membahagikan masanya antara politik dan pertarungan membuat pengumuman itu dalam video berdurasi 14 minit yang disiarkan di laman Facebook rasminya.
“Saya baru sahaja mendengar loceng terakhir. Tinju sudah berakhir,” katanya.
Pilihan Raya 2022 | Manny Pacquiao bertanding calon Presiden Filipina
“Saya tidak pernah menyangka hari ini akan tiba ketika saya tidak lagi memakai sarung tangan tinju saya,” kata Pacquiao sambil mengucapkan terima kasih kepada peminatnya di seluruh dunia.
Terkenal dengan gerakan kaki pantas dan tumbukan yang kuat, Pacquiao dianggap sebagai salah satu petinju terbaik dalam sejarah sukan tersebut.
Promotor veteran Bob Arum pada tahun 2010 mengatakan beliau tidak dapat ditandingi, dan berpendapat beliau lebih baik daripada Muhammad Ali.
“Tumbukan dari tangan kiri dan kanannya dilepaskan dengan kekuatan yang sama dan itulah yang menghancurkan lawannya,” kata Arum kepada Reuters.
Pacquiao adalah antara sekutu paling kuat Presiden Filipina, Rodrigo Duterte sebelum ini.
Begitupun, hubungan politik mereka menjadi tidak baik setelah Pacquiao mengkritik persahabatan Duterte dengan China dan rasuah dalam pemerintahan.