Liz Truss secara rasmi dilantik Perdana Menteri UK ke-15

Agensi
September 6, 2022 21:02 MYT
Liz Truss bertemu dengan Ratu Elizabeth II di Istana Balmoral sebagai sebahagian proses formal untuk menjadi Perdana Menteri United Kingdom yang baharu. -Gambar AP
KUALA LUMPUR : LIZ Truss secara rasmi dilantik sebagai Perdana Menteri United Kingdom (UK) ke-15 selepas mengadakan pertemuan dengan Ratu Elizabeth II, 96, pada Selasa.
Pertemuan yang menjadi sebahagian proses formal untuk menjadi Perdana Menteri UK itu berlangsung di Istana Balmoral, Scotland dan bukan di Istana Buckingham seperti kelaziman atas isu kesihatan dihadapi Ratu Elizabeth.
Dalam perkongsian gambar AP, Ratu Elizabeth dilihat tersenyum menerima kehadiran Truss di Istana semasa kedua-duanya bersalaman.
Bekas Perdana Menteri, Boris Johnson turut hadir bagi penyerahan kuasa kepada Truss, sekali gus meneruskan kesinambungan usaha menangani pertumbuhan ekonomi UK.
Ini termasuk dalam menangani kos sara hidup terburuk yang dihadapi negara itu dekad ini.
Truss dilaporkan akan kembali ke pejabatnya di 10 Downing Street, London dan memberi ucapan sekitar jam 4 petang waktu tempatan.
Pada Isnin, Truss yang berusia 47 tahun meraih kemenangan selesa menewaskan bekas Menteri Kewangan, Rishi Sunak dengan undian majoriti sebanyak 81,326 berbanding Sunak (60,339), sekali gus menjadi pilihan pemimpin Parti Konservatif untuk menggalas tanggungjawab Perdana Menteri UK.
Bermula dengan 11 calon, pemilihan Perdana Menteri Britain berakhir dengan pertembungan antara Sunak dan Truss, apabila ahli Parti Konservatif membuat pilihan pada 2 September lepas.
Kemenangan Truss itu sekali gus menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri wanita ketiga buat negara itu selepas Margaret Thatcher dan Theresa May.
#Liz Truss #Perdana Menteri UK #Ratu Elizabeth II #Istana Balmoral
;