Liz Truss dilantik Perdana Menteri UK baharu

Astro Awani
September 5, 2022 19:41 MYT
Truss, 47, yang menggantikan Boris Johnson meraih kemenangan selesa menewaskan bekas Menteri Kewangan, Rishi Sunak dengan undian majoriti sebanyak 81,326 berbanding Sunak dengan undian 60,339. - Sumber foto AP
LIZ Truss menjadi pilihan pemimpin Parti Konservatif untuk menggalas tanggungjawab Perdana Menteri United Kingdom yang baharu pada Isnin.
Truss, 47, yang menggantikan Boris Johnson meraih kemenangan selesa menewaskan bekas Menteri Kewangan, Rishi Sunak dengan undian majoriti sebanyak 81,326 berbanding Sunak dengan undian 60,339.
Pelantikan pemimpin baharu itu akan dibuat di Istana Balmoral, Scotland pada Selasa dan bukan di Istana Buckingham, London seperti kebiasaannya susulan isu kesihatan yang dihadapi baginda Ratu Elizabeth II ketika ini.
Bermula dengan 11 calon, pemilihan Perdana Menteri Britain berakhir dengan pertembungan antara Sunak dan Truss, apabila ahli parti Konservatif membuat pilihan pada 2 September lepas.
BACA: Disebut-sebut bakal PM Britain: Siapa Liz Truss, wanita kelahiran Oxford ini?
Kemenangan Truss itu sekali gus menjadikan beliau sebagai Perdana Menteri wanita ketiga buat negara itu selepas Margaret Thatcher dan Theresa May.
Truss yang bakal memulakan tugas rasmi pada Selasa sebelum ini bertegas akan menangani kebimbangan ekonomi, mengulangi ikrarnya untuk menggalakkan pertumbuhan.
Dalam tulisannya di akhbar Sunday Telegraph, Truss akui memahami cabaran yang dihadapi rakyat.
Sehubungan itu, beliau akan mengambil langkah segera untuk memastikan keluarga dan perniagaan boleh mengharunginya.
#Liz Truss #United Kingdom #Rishi Sunak #Theresa May #Boris Johnson #Perdana Menteri
;