Liz Truss akui terpaksa bertindak agresif, Kwarteng digantikan Jeremy Hunt

Agensi
Oktober 14, 2022 23:50 MYT
Liz Truss menarik balik rancangan pemotongan cukai syarikat, membatalkan bahagian penting rancangan ekonomi yang mencetuskan ketidakstabilan pasaran serta politik selama berminggu-minggu. - Foto AP
LONDON: Perdana Menteri Britain Liz Truss menarik balik rancangan pemotongan cukai syarikat, membatalkan bahagian penting rancangan ekonomi yang mencetuskan ketidakstabilan pasaran serta politik selama berminggu-minggu.
Truss menerusi sidang media pada Jumaat memaklumkan, beliau pada masa sama terpaksa bertindak agresif dengan memecat ketua perbendaharaan ketika kepimpinannya diragui ramai pihak susulan krisis ekonomi yang berlaku.
Jawatan Kwasi Kwarteng digantikan Bekas Menteri Kabinet, Jeremy Hunt yang juga merupakan seorang veteran dan pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Luar dan Setiausaha Kesihatan United Kingdom (UK).
Hunt merupakan individu yang dihormati dan diharap dapat menawarkan kestabilan kepada pentadbiran Truss.
“Saya bertemu bekas canselor awal hari ini. Saya menyesali pemergiaannya. Beliau adalah kawan yang baik dan dia berkongsi visi saya untuk meletakkan negara ini di landasan pertumbuhan.
“Hari ini, saya meminta Jeremy Hunt untuk menjadi canselor baharu. Beliau salah seorang menteri dan ahli parlimen kerajaan yang paling berpengalaman dan dihormati, dan beliau berkongsi keyakinan dan cita-cita saya untuk negara kita,” jelasnya.
BACA: Menteri Kewangan UK, Kwasi Kwarteng dipecat
Truss cuba memulihkan keadaan ekonomi selepas tiga minggu kegawatan yang dicetuskan oleh "bajet mini" pemotongan cukai kerajaan.
“Saya telah bertindak agresif hari ini kerana keutamaan saya ialah memastikan kestabilan ekonomi negara.
“Sebagai Perdana Menteri, saya akan sentiasa bertindak demi kepentingan negara. Ini sentiasa menjadi pertimbangan pertama saya. Saya mahu jujur, ini sukar.
“Tetapi kita akan dapat melalui kemelut ini dan kami akan mencapai pertumbuhan yang kukuh dan berterusan yang boleh mengubah kemakmuran negara kita untuk generasi akan datang,” tambahnya.
Kenyataan yang dikeluarkan olehnya pada 23 September lalu memperlihatkan mata wang pound menjunam ke paras terendah berbanding dolar.
September lepas, Kwarteng melancarkan pelan pertumbuhan bernilai 60 bilion pound baharu bagi menyokong ekonomi negara itu, di tengah-tengah peningkatan kos sara hidup.
Pelan itu termasuk membatalkan rancangan kenaikan cukai perbadanan, dengan mengekalkannya pada paras terendah dalam G20, pada 19 peratus.
Menurut Ketua Strategi Mata Wang Di National Australia Bank, pelabur bimbang terhadap skala keperluan pembiayaan kerajaan UK untuk jangka pendek bagi pelan berbilion pound itu.
#Liz Truss #Peningkatan kos sara hidup #Kwasi Kwarteng #Jeremy Hunt
;