Liow akan bertemu waris MH370 di Perth
Agensi
Januari 23, 2017 13:11 MYT
Januari 23, 2017 13:11 MYT
Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai bersetuju bertemu waris penumpang pesawat Malaysia Airlines MH370 di Perth pada Isnin selepas hasrat pertemuan itu dilobi satu kumpulan yang mewakili ahli keluarga mangsa pesawat yang hilang pada Mac 2014 itu.
Wakil Kumpulan Voice370, Weeks Danica berkata pada Ahad, pihaknya akan menyampaikan surat peribadi kepada Menteri Pengangkutan Malaysia untuk meneruskan carian selepas usaha tersebut ditangguhkan minggu lepas.
"Saya menerima surat mereka pada Isnin, saya akan bertemu beliau dan berharap pertemuan tersebut akan berjalan dengan lancar," katanya kepada pemberita di Perth pada Isnin.
Pesawat Boeing 777 hilang pada 8 Mac 2014 dalam perjalanan ke Beijing dari Kuala Lumpur dengan membawa 239 penumpang serta anak kapal terus menjadi misteri paling besar di dunia.
Usaha carian membabitkan kawasan seluas 120,000km persegi telah ditangguhkan selepas kapal carian terakhir menamatkan misi minggu lalu.
Menurut Liow, usaha mencari pesawat malang itu hanya akan diteruskan selepas mendapat bukti yang boleh dipercayai.