Lionel Messi gagal hadir perbicaraan kes penipuan cukai
Agensi
Mei 31, 2016 17:51 MYT
Mei 31, 2016 17:51 MYT
PERBICARAAN Lionel Messi dalam kes penipuan cukai berlangsung pada Selasa di Sepanyol tanpa kehadiran bintang bola sepak Argentina itu di mahkamah, yang kebetulan dimulakan beberapa hari sebelum perlawanan pertama Argentina dalam Copa America menentang Chile.
Messi, 28, dan bapanya, Jorge Horacio Messi, didakwa menggunakan rangkaian syarikat palsu di Belize dan Uruguay untuk mengelak daripada membayar cukai berjumlah 4.16 juta euro (RM19.12 juta) daripada pendapatan penggunaan wajah Messi dari tahun 2007 hingga 2009.
Mereka berdua berdepan tiga dakwaan penipuan cukai.
Messi berada di Barcelona untuk menghadiri perbicaraan itu namun akhirnya tidak dapat berbuat demikian atas masalah kesihatan.
Dia cedera di bahagian belakang tubuhnya selepas perlawanan persahabatan dengan Honduras, ujar peguamnya Javier Sanchez-Vera sewaktu permulaan prosiding.
Agensi cukai Sepanyol mengenakan hukuman denda dan penjara kepada kesalahan penipuan cukai, dengan pihak pendakwaraya mencadangkan hukuman penjara 22 setengah bulan sekiranya Messi dan bapanya didapati bersalah.
Sehingga kini, Messi dan bapanya menafikan sebarang salah laku seumpamanya, dan perbicaraan itu dijangka berlanjutan sehingga tiga hari.
Pendapatan Messi yang menjadi kontroversi dalam kes itu berkait dengan penjualan hak penggunaan wajahnya dalam kontrak dengan syarikat-syarikat seperti Banco Sabadell, Danone, Adidas, Pepsi-Cola, Procter and Gamble, dan Kuwait Food Company.