Lion Air JT610 bermasalah sebelum berlepas - Badan penyiasat

Astro Awani
November 28, 2018 17:26 MYT
Pesawat Lion Air JT610 mengalami masalah teknikal beberapa hari sebelum tragedi yang mengorbankan 189 orang pada 29 Oktober lalu. -Gambar hiasan
Pesawat Lion Air JT610 mengalami masalah teknikal beberapa hari sebelum tragedi yang mengorbankan 189 orang pada 29 Oktober lalu.
Laporan awal siasatan nahas pesawat tersebut yang terhempas di perairan Tanjung Karawang dikeluarkan hari ini mengesahkan ada sesuatu yang tidak kena pada kapal terbang jenis Boeing 737 MAX 8 itu sebelum hari kejadian.
Komite Nasional Keselamatan Transportasi (KNKT) yang bertanggungjawab menyiasat tragedi itu mengesahkan ia termasuk masalah teknikal yang dialami penerbangan dari Bali ke Jakarta iaitu sehari sebelum nahas itu berlaku.
"Berdasarkan data penyelenggaraan pesawat sejak tanggal 26 Oktober, tercatat masalah atau gangguan teknikal yang tercatat di pesawat itu, masalah yang terjadi itu berkaitan dengan masalah indikator kecepatan dan ketinggian pesawat," kata Ketua Subkomite Investigasi KNKT, Nurcahyo Utomo di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau berkata pasukan teknikal mengesahkan pesawat itu selamat untuk berlepas, selepas menghadapi masalah teknikal pada penerbangan dari Bali ke Jakarta itu.
Pesawat itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Depati Amir Pangkal Pinang pada 7.10 pagi waktu Indonesia barat (8.10 pagi waktu Malaysia).
"Sehingga penerbitan laporan awal ini, perakam suara kokpit (CVR) masih belum ditemui, usaha mengesan CVR masih diteruskan,” kata Nurcahyo.
Beliau berkata siasatan itu akan melakukan beberapa ujian termasuk ujian pengesan AoA (Angle of Attack) dan latihan simulasi pesawat di simulator kejuruteraan Boeing.
“Siasatan telah menerima data penerbangan QAR (Quick Access recorder) untuk dianalisis. Siasatan juga melibatkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) dari Amerika Syarikat,” katanya.
Pesawat yang membawa 181 penumpang dan lapan anak kapal dilaporkan terputus hubungan selepas berlepas pada 6.20 pagi dari Lapangan Terbang Soekarno-Hatta sebelum disahkan terhempas 13 kemudian.
#29 Oktober #Boeing 737 MAX 8 #Jakarta #KNKT #Lion Air JT610 #masalah teknikal #penerbangan #pesawat #Tanjung Karawang #terhempas #tragedi
;