Lintas jalan bukan di tempatnya tidak jadi kesalahan di Bandar Raya New York pada Februari
Bernama
Oktober 31, 2024 22:30 MYT
Oktober 31, 2024 22:30 MYT
WASHINGTON: Menyeberang jalan tanpa menggunakan laluan lintasan jalan tidak lagi akan dihukum di Bandar Raya New York bermula Februari, lapor United Press International.
Majlis Bandar Raya New York pada September lepas meluluskan rang undang-undang yang menjadikan menyeberang jalan tanpa menggunakan laluan lintasan jalan bukan lagi satu kesalahan apabila langkah itu berkuat kuasa kelak.
Datuk Bandar Eric Adams tidak menandatangani atau memveto langkah itu, yang secara automatik menjadi undang-undang apabila tempoh untuk bertindak tamat hujung minggu lepas.
Undang-undang ini akan berkuat kuasa dalam tempoh 120 hari, dan pesalah yang menyeberang jalan tanpa menggunakan laluan lintasan jalan tidak lagi akan dikenakan saman dan denda selepas itu.
Undang-undang baharu ini membenarkan pejalan kaki melintas jalan di mana-mana bahagian jalan raya, namun ia tidak memberi hak keutamaan kepada mereka.
Sekiranya pejalan kaki dilanggar kenderaan ketika melintas di luar laluan lintasan jalan atau melawan isyarat lalu lintas, mereka mungkin dipertanggungjawabkan terhadap kerosakan atau kecederaan kepada pihak lain.
Pejalan kaki juga mungkin dipertanggungjawabkan atas kos perubatan sendiri dan sebarang kerosakan berkaitan jika dilanggar ketika melintas tanpa laluan lintasan jalan, kecuali jika mahkamah memutuskan sebaliknya.
Ahli Majlis Bandar Raya New York, Mercedes Narcisse yang menaja langkah itu berkata, lebih 92 peratus saman menyeberang jalan tanpa laluan lintasan jalan dikeluarkan kepada penduduk berketurunan Amerika Afrika dan Latin.
Polis New York City telah mengeluarkan 463 saman berkaitan kesalahan ini pada 2023.
Undang-undang baharu ini memastikan "semua orang dilayan dengan adil tanpa mengira latar belakang kaum," kata Narcisse kepada CBS News.
Beliau berkata undang-undang itu juga membolehkan pegawai polis menumpukan kepada keselamatan awam dan bukan mengeluarkan saman kepada pejalan kaki yang melintas jalan.
Larangan menyeberang jalan di luar lintasan jalan diperkenalkan di bandar raya itu pada 1958, dan kesalahan itu kini boleh didenda sebanyak US$300.
-- BERNAMA