Lima warga Israel terbunuh, penyerang warga Palestin ditembak mati

Astro Awani
November 19, 2014 10:37 MYT
Konflik berdarah antara Palestin dan Israel tidak pernah bertemu jalan penyelesaian sejak bertahun-tahun lamanya. - Foto AFP
Lima warga Israel terbunuh dalam satu serangan berdarah di sebuah rumah ibadat Yahudi di sini pada Selasa. Mengikut laporan AFP, serangan tersebut dilakukan oleh dua warga Palestin yang bersenjatakan pistol dan pisau pemotong daging.
Serangan di rumah ibadat itu amat luar biasa dan menggemparkan. Ia meningkatkan kebimbangan tentang konflik Palestin-Israel yang semakin tegang.
Dua penyerang tersebut kemudannya terbunuh dalam insiden berbalas tembakan dengan pihak polis. Mereka dikenal pasti sebagai Uday dan Ghassan Abu Jamal yang berusia dalam lungkungan 20-an.
Empat daripada mangsa kejadian merupakan warga Israel dengan dua kewarganegaraan iaitu tiga Amerika Syarikat (AS) dan seorang dari Britain. Sebuah laman web ultra-ortodoks Israel menyatakan bahawa kesemua mereka adalah pemimpin agama atau rabbi.
Selain itu, seorang anggota polis Israel, Zidan Saief, 30, juga mati selepas mengalami kecederaan parah.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu berikrar untuk menangani insiden itu dengan tegas dan akan meruntuhkan kediaman pihak yang bertanggungjawab, sejajar dengan polisi yang telah diumumkan awal bulan ini.
“Kita dalam ancaman serangan. Saya telah mengarahkan pemusnahan kediaman-kediaman warga Palestin yang bertanggungjawab melakukan perkara ini dan mempercepatkan pemusnahan kediaman pelaku-pelaku jenayah yang sebelum ini,” kata Netanyahu.
Presiden AS Barack Obama menyeru semua pihak bertenang dan meminta pihak Israel dan Palestin bekerjasama untuk mengurangkan ketegangan, menolak keganasan dan mencari jalan perdamaian.
Presiden Palestin Mahmoud Abbas dan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Ban Ki-moon juga mengutuk serangan terbabit.
UNTUK BERITA PENUH, SILA IKUTI PAUTAN INI
#Baitulmaqdis #Israel #Palestin #polis #serangan
;