Lima wanita ditembak di pusat perubatan

Agensi
Mei 3, 2023 07:30 MYT
Petugas keselamatan mengawal bangunan Northside Medical susulan kejadian lima wanita ditembak oleh seorang lelaki di bilik menunggu di tingkat 11 pusat perubatan itu pada Rabu. - Gambar REUTERS
ATLANTA: Seorang lelaki melepaskan tembakan di bilik menunggu di tingkat 11 sebuah pusat perubatan di Atlanta, Amerika Syarikat pada Rabu.
Portal berita CNN melaporkan, seorang daripada lima wanita yang ditembak itu meninggal dunia di tenmpat kejadian, manakala, empat mangsa lain mengalami kecederaan parah.
Menurut Ketua Jabatan Polis Atlanta, Darin Schierbaum, suspek melepaskan tembakan itu selepas dia dilaporkan berang semasa berkunjung ke pusat perubatan berkenaan.
Ketika kejadian, suspek yang berusia 24 tahun dan dikenali sebagai Deion Patterson ditemani ibunya yang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Selepas melepaskan tembakan itu, suspek melarikan diri menaiki sebuah kereta yang dicurinya.
Sehubungan itu, Schierbaum berkata, polis kini sedang memburu suspek dan mencari senjata api yang digunakannya.
Hasil daripada kerjasama dengan pelbagai agensi penguatkuasaan, polis sedang menjejaki petunjuk bahawa suspek dipercayai berada "di kawasan Cobb County dan bandar Atlanta”, jelas Schierbaum lagi.
Dalam perkembangan sama, tiga mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Memorial Grady dari lokasi lokasi kejadian berada dalam keadaan kritikal, sementara seorang lagi pesakit stabil, kata kenyataan yang dikeluarkan pihak hospital.
Sementara itu, Northside Medical mengeluarkan notis memaklumkan pusat perubatan itu akan ditutup pada hari Khamis susulan insiden yang berlaku pada petang Rabu.
#lima wanita ditembak #pusat perubatan #Northside Medical #tembakan
;